Industri Kelapa Sawit Harus Meningkatkan Kerjasama

Industri Kelapa Sawit Harus Meningkatkan Kerjasama
Kuala Lumpur, MTN – Industri kelapa sawit harus meningkatkan kerjasama lebih komprehensif dengan pengeluar minyak biji bunga matahari dan menawarkan penyelesaian minyak pelbagai sebagai cara untuk industri yang lestari apabila pandemik berakhir kelak.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan IOI Corporation Bhd, Datuk Lee Yeow Chor berkata sektor minyak biji bunga matahari juga penting untuk pembangunan sosioekonomi bagi sebuah negara, sama seperti minyak sawit yang merupakan komoditi penting untuk Malaysia dan Asia.
“Inovasi terus akan berlaku, justeru dengan penyelesaian minyak pelbagai akan mewujudkan perniagaan yang mampan kerana makanan memerlukan komposisi lemak yang berbeza,” katanya pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia 2021 (POTS Digital 2021) hari ini.
Selain itu, beliau berpendapat industri sawit juga harus mengembangkan perdagangan minyak sawit berasaskan komoditi, terutama minyak masak kerana sejak penularan COVID-19, ia telah mendatangkan risiko terhadap rantaian bekalan dan implikasi terhadap keselamatan makanan.
Strategi itu juga sesuai dengan jumlah penduduk antara negara kurang membangun dan negara membangun, serta negara maju, katanya.
“Kami juga dapat mengembangkan aplikasi khas minyak sawit untuk produk bernilai tinggi untuk kebersihan, farmaseutikal dan bahan bakar yang diperbaharui dan pada masa yang sama menjadikan persaingan dalam minyak sawit lebih stabil dan lestari dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Pengarah eksekutif PBB Oil Palms Bhd dan Ketua Pegawai Kelestarian Wilmar International Ltd Jeremy Goon berkata kelestarian minyak sawit adalah kunci untuk mengakses pasaran global yang menguntungkan, pelanggan dan jenama pelbagai negara dengan pelabur yang lebih besar, terutama pasca-COVID-19.
“Kita perlu mewujudkan perniagaan lestari yang sesuai, terutama dalam memenuhi ketelusan, serta piawaan standard ISO (Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), sekiranya tidak, perniagaan mungkin hanya berkembang di pasaran tempatan sahaja,” katanya.
Mengenai sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), beliau berharap pentadbiran baharu AS di bawah Presiden dilantik, Joe Biden, yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46 pada 20 Januari ini akan memberi pendapat sesuai dalam menangani isu tersebut.
CBP AS telah mengeluarkan telah mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) terhadap minyak sawit dan produk yang mengandungi minyak sawit dikeluarkan Sime Darby Plantation Bhd dan anak syarikatnya, usaha sama dan entiti gabungannya yang membolehkannya menyekat penghantaran berikutan dakwaan bahawa syarikat itu terlibat dalam penggunaan buruh paksa.
[bernama]
Author Profile
Latest entries
Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor