Eksport Minyak Sawit Mentah Dijangka akan Naik
Eksport Minyak Sawit Mentah Dijangka akan Naik
Kuala Lumpur, MTN – Eksport minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka meningkat 12.5 peratus tahun ini kepada 4.5 juta tan metrik daripada anggaran 3.67 juta tan metrik pada 2020, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Kalyana Sundram berkata harga MSM akan tetap berada di atas paras RM3,000 per tan metrik dalam persekitaran kebimbangan mengenai had bekalan kerana musim tengkujuh.
“Kami menjangka harga purata MSM adalah RM3,650 satu tan untuk suku pertama 2021, berada pada paras terendah antara RM3,500 satu tan hingga paras tertinggi sebanyak RM3,850 satu tan,” katanya pada Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia 2021 (POTS Digital 2021) yang berlangsung secara maya hari ini.
Bagi pengeluaran MSM negara, beliau berkata ia dijangka meningkat sedikit kepada 19.6 juta tan tahun ini dibandingkan 19,4 juta tan pada 2020.
Kalyana berkata India, Belanda, dan Kenya dijangka menjadi tiga destinasi eksport teratas untuk MSM Malaysia tahun ini, dan eksport ke India diunjurkan meningkat kepada 2.55 juta tan berbanding 2.04 juta tan yang dicatatkan tahun lepas.
Beliau berkata harga penghantaran MSM Januari 2021 sudah melebihi RM3,800 satu tan dan walaupun pelaksanaan semula duti eksport MSM, harga dijangka kekal kukuh disebalik kebimbangan terhadap penawaran kerana musim hujan pada bulan Januari dan Februari yang akan mempengaruhi pengeluaran. Malaysia telah menetapkan cukai eksport untuk MSM pada kadar lapan peratus bulan ini, menandakan berakhirnya cukai eksport sifar yang dinikmati dari bulan Jun hingga Disember tahun lalu, ia bertujuan untuk meningkatkan nilai eksport sawit Malaysia ke negara lain, terutama India.
Sementara itu, pemulihan pertumbuhan berbentuk V pada tahun 2021 diunjurkan untuk MSM Malaysia, dan Kalyana percaya rantau Asia-Pasifik akan menjadi pemacu utama dalam permintaan minyak sawit.
Permintaan juga dijangka datang dari Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), Asia Selatan dan Uzbekistan, Afrika sub-Sahara, Kesatuan Eropah dan Eropah Timur, katanya.
Mengenai eksport ke China, Kalyana berkata peningkatan ekonomi positif China dengan anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 8.2 peratus tahun ini, ia hanya akan mendorong peningkatan pendapatan per kapita serta meningkatkan permintaan minyak sawit, terutama untuk roti dan lemak konfeksi di China.
Mengenai MENA, beliau berkata penggunaan minyak sawit yang lebih tinggi dalam industri pemprosesan makanan dan pertumbuhan sektor HoReCa (hotel/restoran /kafe) untuk memenuhi keperluan industri pelancongan di Turki, Mesir dan Arab Saudi akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk eksport minyak sawit .
Kalyana juga berkata bahawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ditandatangani pada November 2020 akan meningkatkan hubungan perniagaan dan perdagangan antara negara-negara ASEAN, Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
“Peralihan trend pengguna yang meningkat di Vietnam ke arah diet yang lebih mementingkan kesihatan akan terus mendorong peralihan daripada lemak haiwan ke minyak sayuran dan inasangat menguntungkan minyak sawit,” katanya.
[bernama]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor