JKDNKA: Mustahil Rakyat Tidak Tahu PKP Dilaksanakan
JKDNKA: Mustahil Rakyat Tidak Tahu PKP Dilaksanakan
PETALING JAYA – Adalah mustahil rakyat Malaysia yang masih tidak tahu tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilaksanakan sejak 16 hari lalu.
Namun, masih ada dalam kalangan masyarakat yang masih memberi alasan tidak masuk akal untuk melanggar arahan kerajaan itu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sukar bagi pihaknya menerima alasan tidak tahu PKP dilaksanakan.
“Alasan beli roti, beli air, beli rokok, orang yang rasional pun susah nak terima alasan berikut. Pukul 11 (malam) nak keluar beli roti, kita pun tahu kedai tutup.
“Inilah yang mengecewakan bukan sahaja kita semua tetapi masyarakat sekalian,” katanya ketika ditemui semasa membuat lawatan Ops Covid-19 yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya malam tadi.
Ujar Acryl Sani, pihak polis mensasarkan pematuhan 100 peratus pada PKP fasa kedua.
Sehubungan itu, katanya, rakyat Malaysia perlu memberi kerjasama bagi memastikan rangkaian wabak Covid-19 dapat dihentikan menerusi mematuhi PKP.
“Fasa kedua PKP ini kita mahu lihat dari segi pematuhan, kita masih lagi mengharapkan orang ramai patuh 100 peratus.
“Sekiranya kita betul-betul melaksanakan PKP ini, insyaAllah kita mungkin dapat mengawal jangkitan wabak Covid-19.
“Ini bukan cerita dongeng, ia berasaskan fakta yang dikumpul Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jadi saya yakin jika kita betul-betul (patuh), semua masyarakat mengambil cakna,” ujar beliau.
Setakat ini sebanyak 45 kes direkodkan KKM akibat Covid-19.[mg]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri