'Khianat Tak Bernoktah', Pemuda Amanah Kedah Gesa Pilihan Raya Negeri | Malaysia News

‘Khianat tak Bernoktah’, Pemuda Amanah Kedah Gesa Pilihan Raya Negeri

‘Khianat tak Bernoktah’, Pemuda Amanah Kedah Gesa Pilihan Raya Negeri

Kuala Lumpur, MTN – Pemuda Amanah Kedah menggesa pilihan raya negeri diadakan susulan pergolakan politik yang melanda di negeri itu.

Ketua Pemuda Amanah negeri, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad juga mengecam “pengkhianatan” dua anggota dewan undangan negeri (Adun) PKR yang keluar parti dan empat Adun Bersatu yang kini dikatakan menyokong PN.

“Sekiranya benar pengkhianatan ini tiada noktahnya, Pemuda Amanah Kedah menggesa agar DUN dibubarkan dan dikembalikan kepada rakyat untuk memilih dalam pilihan raya negeri bagi menentukan siapa yang benar layak untuk menerajui kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Terdahulu Adun PKR Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar PKR dan menolak PH, sekali gus menyebabkan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Mukhriz Mahathir hilang majoriti.

Susulan itu, PN Kedah mendakwa mereka memperoleh majoriti sokongan wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baru.

Mukhriz bagaimanapun semalam berkata dakwaan PN memperoleh majoriti itu belum dibuktikan dan beliau masih menteri besar yang sah.

Sementara itu Mohd Ridzwan berkata, pihaknya tetap menyokong kepimpinan Mukhriz dan PH untuk menerajui negeri Jelapang Padi itu.

“Sejak PH mengambil-alih tampuk pemerintahan banyak kemajuan dan peluang pelaburan yang telah direalisasikan sepanjang tempoh pemerintahan dua tahun.

“Semoga kerahmatan bulan Ramadan ini dapat merungkai permasalahan yang berlaku dengan sebaiknya,” katanya.

PAS Kedah mendakwa PN kini mempunyai sokongan 23 Adun untuk membentuk kerajaan, iaitu 15 kerusi PAS, dua BN, empat Bersatu dan dua bebas.

DUN Kedah mempunyai 36 kerusi DUN.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply