Lokomotif H10 Series SMH Rail Sedia Untuk Diserahkan Ke TRC | Malaysia News

Lokomotif H10 Series SMH Rail Sedia Untuk Diserahkan ke TRC

Lokomotif H10 Series SMK Rail

Lokomotif H10 Series SMH Rail Sedia Untuk Diserahkan ke TRC

Kuala Lumpur, MTN – Lokomotif H10 Series SMH Rail – lokomotif “Hijau” pertama ciptaan Malaysia telah bersedia untuk diserahkan kepada Tanzania Railways Corporation (TRC).

Dilancarkan pada Ogos 2021, TRC akan menerima kumpulan pertama lokomotif H10 Series itu yang akan dirasmikan Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan Tanzania, Prof. Makame M. Mbarawa, menurut syarikat pengeluar lokomotif itu menerusi satu kenyataan.

Lokomotif itu dibina untuk kegunaan operator pengangkut Afrika yang menyaksikan TRC sebagai pelanggan awal.

“Lokomotif diesel-elektrik H10 Series yang cekap tenaga dengan reka bentuk ekologi ini akan memenuhi keperluan operasi yang unik bagi jalan kereta api kerajaan Tanzania melalui kesalinghubungan yang lancar dan kebolehsampaian yang dipertingkat,” katanya.

Menurut Pengerusi dan Pengarah Urusan SMH Rail Datuk PK Nara, SMH Rail yakin lokomotif ini akan menawarkan penambahbaikan yang positif terhadap industri kargo rel Afrika.

“SMH Rail ingin berkongsi kejayaan ini dengan semua individu yang terlibat dalam projek ini khususnya rakan kongsi kami dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan di atas usaha mereka sehingga berjaya menyiapkan dan menyerahkan lokomotif ini.

“Saya percaya apabila kita melangkah ke hadapan dengan usaha yang bersepadu, kita bukan sahaja berupaya mendorong hubungan Malaysia-Afrika, malah memacu pemerkasaan ekonomi melalui eksport,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada EXIM Bank Malaysia berikutan “sokongan tanpa henti dalam membiayai projek ini meskipun dalam keadaan pandemik yang mencabar.”

“Masa depan rel yang disokong inovasi dalam kejuruteraan dan teknologi akan membolehkannya mencapai kejayaan penting dalam keselamatan, sambil mengekalkan kelebihan daya saing dalam kepesatan ekonomi global hari ini untuk menjadi antara mod kenderaan paling cekap tenaga bagi pengangkut dan penumpang,” katanya.

Kejayaan SMH Rail turut disumbangkan oleh tenaga kerja yang pelbagai dan berkemahiran tinggi, yang mana 60 peratus daripada kandungan lokomotif H10 Series itu dihasilkan dalam negara di kemudahan pembuatannya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut syarikat itu, lokomotif H10 Series itu berupaya mengurangkan pelepasan karbon sehingga 75 peratus, menurunkan kadar kesesakan lebuh raya dan menjimatkan bahan api secara purata sebanyak empat kali berbanding pengangkutan darat.

Ia bukan sahaja meningkatkan kemampuan eksport SMH Rail, malah, turut memperkukuh usaha Malaysia bagi menghubungkan destinasi, meluaskan akses rantaian bekalan, mempercepat pengindustrian dan menggalakkan perdagangan rentas sempadan.

[BERNAMA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply