MNSC Meminta Kerajaan Untuk Campur Tangan Mengatasi Masalah Kekurangan Kontena Serta Ruang Di Atas Kapal | Malaysia News

MNSC Meminta Kerajaan untuk Campur tangan Mengatasi Masalah Kekurangan Kontena Serta Ruang di Atas Kapal

MNSC Meminta Kerajaan untuk Campur tangan Mengatasi Masalah Kekurangan Kontena Serta Ruang di Atas Kapal

Kuala Lumpur, MTN – Majlis Perkapalan Kebangsaan Malaysia (MNSC) meminta kerajaan membantu kalangan pengimport dan pengeksport menangani isu kekurangan kontena serta ruang dalam kapal berikutan pandemik COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata kekurangan pada separuh kedua tahun ini terbukti telah meningkatkan kadar pengangkutan kontena sebanyak 300 peratus dan 400 peratus bagi penghantaran eksport dan import.

Pengerusinya Datuk Dr Ir Andy Seo berkata MNSC bimbang lonjakan kos penghantaran itu sebaliknya akan menyumbang kepada peningkatan kos perniagaan dan seterusnya menjejaskan pelanggan, terutama dalam tempoh sukar seperti sekarang.

“Isu ini dijangka berterusan pada musim puncak ini (bersempena perayaan Krismas) sehingga cuti Tahun Baru Cina pada pertengahan Februari 2021,” katanya.

Menurut MNSC, isu kekurangan kontena itu berpunca daripada peningkatan ketara di China susulan pemulihan perdagangan bagi tempoh pasca-COVID-19 di negara itu dan pengeksport China juga bersedia membayar kadar premium bagi menjamin ruang dan kotena.

Berikutan itu, kebanyakan syarikat perkapalan telah memindahkan inventori ke sana bagi menampung permintaan tersebut.

“Pada masa ini, hampir setiap kapal yang keluar dari China adalah penuh manakala Pelabuhan Klang menjadi lokasi terakhir untuk kapal yang menuju barat. Berikutan itu, perdagangan Malaysia terjejas teruk akibat masalah kekurangan kontena serta ruang bagi memenuhi permintaan pihak pemilik kapal,” kata MNSC.

Selain itu, syarikat perkapalan telah bertindak mengurangkan jumlah kapal dan pekerja pada gelombang pertama jangkitan COVID-19 akibat penyusutan permintaan.

“Ini ditambah lagi dengan kesukaran mengumpulkan kontena kosong di negara yang mengenakan kawalan pergerakan yang ketat dan menyaksikan peningkatan permintaan terhadap kontena dari Asia Utara,” katanya.

Sehubungan MNSC mahu mendapatkan bantuan kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa pelabuhan untuk meminta syarikat perkapalan meningkatkan kapasiti dan menyediakan kemudahan bagi laluan perdagangan lebih kritikal yang kadarnya didapati terus meningkat.

Majlis itu turut meminta kerajaan membantu dengan tidak menggalakkan syarikat perkapalan mengelak pelabuhan persinggahan dengan menumpukan laluan rentas pasifik yang lebih menguntungkan.

Pada masa sama, MNSC berharap kerajaan mempertimbang untuk menawarkan lebih banyak insentif cukai seperti rebat cukai dan pengurangan cukai dua kali bagi membolehkan pihak pengeksport membayar kadar lebih tinggi atau premium untuk bersaing dengan pengeksport antarabangsa.

Selain itu, MNSC mencadangkan supaya kerajaan menghapuskan had 30 peratus bayaran balik kos logistik di bawah bantuan sementara menerusi MDG atau Geran Pembangunan Pasaran.

MDG membenarkan bayaran balik sehingga 30 peratus daripada jumlah kos logistik, termasuk kos pengangkutan, gudang simpanan dan pengangkutan yang tertakluk kepada maksimum RM15,000 bagi setiap penghantaran.

Ia melibatkan kos logistik sehingga 31 Dis, 2020 atau sehingga kerajaan mengisytiharkan pandemik COVID-19 berakhir secara rasmi atau yang mana terdahulu.

 

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply