Skuad Terjun Negara Berjaya Mengekalkan Prestasi Pada Kejohanan Terjun Antarbangsa | Malaysia News
February 23, 2024

Skuad Terjun Negara Berjaya Mengekalkan Prestasi pada Kejohanan Terjun Antarbangsa

Skuad Terjun Negara Berjaya Mengekalkan Prestasi pada Kejohanan Terjun Antarbangsa

Kuala Lumpur, MTN – Skuad terjun negara berjaya mengekalkan prestasi cemerlang pada edisi sulung Kejohanan Terjun Antarabangsa Dalam Talian Malaysia yang bermula hari ini meskipun sudah lama tidak menyertai sebarang kejohanan.

Gandingan Nur Dhabitah Sabri-Wendy Ng Yan Yee menepati ramalan apabila menjuarai acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita selepas mengumpul 230.58 mata, mengatasi dua pasangan Australia Milly Puckeridge-Zara Tullipan (189.75) dan Harriet Kaan-Ellie Cole (171.36).

Nur Dhabitah, 21, yang meraih pingat emas 3m papan anjal individu pada Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 berkata beliau berpuas hati dapat kembali beraksi walaupun dalam suasana berbeza tanpa kehadiran penonton di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, di sini.

“Saya gembira dan pada masa sama gementar sebab dah lama tidak bertanding. Sejujurnya saya sangat berpuas hati dengan terjunan hari ini. Kejohanan ini juga beri satu pengalaman baharu…sangat-sangat sunyi tetapi yang bagusnya kami ada rakan sepasukan yang memberikan sokongan,” katanya.

Beliau yang telah mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Tokyo tahun hadapan berkata sesuatu yang pelik sekiranya kejohanan terjun berlangsung dalam suasana sunyi.

Sementara itu, Wendy menyifatkan kejohanan terjun dalam talian sebagai medan awal mengukur prestasi dalam misi memburu tiket ke Olimpik di Kejohanan Terjun Piala Dunia FINA 2021 pada 18 hingga 23 April di Tokyo.

“Sangat teruja dan gembira apabila kami dapat melakukan terjunan. Ini adalah pengalaman terbaik sebab tidak pernah ada kejohanan maya seperti sebelum ini, pengalaman yang bagus buat kami sebelum Piala Dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia turut mendominasi acara 3m papan anjal individu lelaki menerusi Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei yang muncul juara dan naib juara selepas masing-masing meraih 408.05 mata dan 356.60 mata sementara penerjun Jepun Reo Sakata ketiga dengan 342.10 mata.

“Persembahan saya agak sederhana sebab berlaku sikit kesilapan tapi secara keseluruhan memuaskan. Dalam keadaan COVID-19 masih perlu diawasi, idea pelaksanaan kejohanan dalam talian ini agak bagus untuk pastikan atlet sentiasa merasai mood kejohanan,” kata penerjun berusia 27 tahun itu.

Dalam acara 10m platform individu wanita, penerjun Australia Olivia O’Rourke muncul juara selepas mengutip 248.60 mata sementara Mei Nagasawa dari Jepun di tempat kedua (247.85) dan Sofia Knight dari Australia ketiga (232.60).

Esok, empat acara akan berlangsung iaitu 3m papan anjal individu wanita, 10m platform seirama wanita, 3m papan anjal seirama lelaki dan 10m platform individu lelaki.

Kejohanan berkenaan adalah pertandingan pertama disertai skuad terjun negara dalam tempoh hampir setahun susulan penularan pandemik COVID-19.

Kejohanan dua hari itu disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Majlis Sukan Negara (MSN) mempertandingakan acara Sukan Olimpik dan disertai lima negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah, Singapura, Jepun, Australia dan New Zealand.

 

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply