MPOB Mendapat Anugerah Melalui Produk Agen Pemplastik Berasaskan Kelapa Sawit | Malaysia News

MPOB Mendapat Anugerah Melalui Produk Agen Pemplastik Berasaskan Kelapa Sawit

MPOB Mendapat Anugerah Melalui Produk Agen Pemplastik Berasaskan Kelapa Sawit

Kuala Lumpur, MTN – Penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menghasilkan produk agen pemplastik berasaskan sawit yang lebih selamat digunakan untuk membungkus makanan dan minuman.

Agen pemplastik adalah bahan tambahan bagi meningkatkan keanjalan dan kelenturan bahan plastik. Agen pemplastik ini adalah bahan kimia yang sangat dicari untuk digunakan di pelbagai industri seperti automotif, perubatan dan barang pengguna.

Teknologi yang dibangunkan oleh Zulina Abdul Maurad menggunakan oleokimia sawit, sumber boleh diperbaharui bagi penghasilan agen pemplastik dapat mengurangkan kesan bahan kimia ke atas plastik yang dibungkus untuk makanan dan minuman.

Teknologi ciptaan beliau memenangi Anugerah Utama Tahun Pengkomersialan Malaysia 2020 (MCY 2020) dalam kategori Anugerah Usahawan Penyelidik baru- baru ini.

Menurut Zulina, teknologi proses penghasilan agen pemplastik berasaskan sawit yang telah dipatenkan ini dapat meningkatkan penggunaan minyak sawit dan tambah nilai metil oleat sebagai agen plastik yang tidak toksik, menggantikan dictyl phthalate (DOP) yang bersifat karsinogenik dan telah dilarang di negara-negara tertentu. Karsinogen ialah agen-agen yang boleh mencetuskan pertumbuhan sel-sel barah.

“Penggunaan sumber yang boleh diperbaharui dalam pengeluaran agen pemplastik berasaskan sawit dapat mengurangkan penyerapan bahan kimia ke dalam plastik dan selamat untuk digunakan terutamanya untuk membungkus makanan dan minuman,” tambah Zulina.

Produk agen pemplastik yang dibangunkan oleh MPOB ini memenuhi syarat kualiti piawaian industri. Agen pemplastik berasaskan sawit dapat digunakan dalam formulasi PVC untuk penghasilan pembalut plastik makanan, mainan plastik, tiub plastik, tayar, barang kulit sintetik, lantai lamina dan lain-lain.

Plastik filem yang menggunakan agen pemplastik berasaskan sawit menunjukkan ketelusan filem yang lebih tinggi, pengurangan kesan statik dan sifat mekanikal yang bertambah baik daripada plastik filem berasaskan DOP.

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply