Pasukan KDA FC Tengah Fokus Persiapan Hadapi JDT | Malaysia News

Pasukan KDA FC Tengah Fokus Persiapan Hadapi JDT

KDA FC

Pasukan KDA FC Tengah Fokus Persiapan Hadapi JDT

ALOR SETAR, MTN – Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak mahu anak buahnya fokus terhadap persiapan untuk perlawanan suku akhir kedua bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang akan berlangsung Khamis ini.

Mengakui ia bukan sesuatu yang mudah, namun jurulatih kelahiran Singapura itu yakin dengan strategi dan persiapan mencukupi, tidak mustahil pasukannya dapat melakukan yang terbaik pada perlawanan itu nanti.

“Dengan keputusan malam ini, saya yakin pemain mempunyai tahap motivasi yang tinggi dan mereka diharap dapat memberi tentangan dan cabaran seperti yang ditunjukkan pada perlawanan kedua bertemu JDT sekali lagi,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan KDA FC dengan JDT FC yang berkesudahan 0-0 tanpa jaringan di sini malam tadi.

Aidil Sharin berkata sehubungan itu, persediaan rapi harus dilakukan kerana saingan kali ini lebih mencabar apabila bermain di tempat lawan nanti.

Mengulas perlawanan malam tadi, Aidil Sharin bangga dengan prestasi yang dipamerkan semua pemainnya di semua posisi kerana menunjukkan kesungguhan masing-masing bagi mengekang asakan pasukan lawan.

“Mereka (pemain) juga bermain mengikut arahan dan tahap displin yang tinggi selain kerjasama yang baik ditunjukkan di dalam padang,“ katanya yang mahukan rentak kecemerlangan konsisten ditunjukkan pemain dan diteruskan ketika berada di padang pasukan pelawat.

Beliau juga memuji berapa pemain muda yang telah memberikan persembahan meyakinkan sehingga dapat mengekang kemaraan pasukan pelawat.

Sementara itu, Ketua jurulatih JDT FC Benjamin Mora Mendivil berkata pasukan Kedah menunjukkan mutu permainan yang cemerlang terutamanya pemain muda sehingga menyebabkan pemainnya sukar memperoleh gol.

Berikutan itu, beberapa percaturan dan perancangan akan dilakukan bagi memperkemaskan pasukannya untuk berdepan Kedah pada Khamis ini.

“Ia perlawanan yang sengit dan Kedah bermain dengan baik sekali di semua posisi dan saya harap pasukan kami akan lebih bersedia untuk perlawanan itu nanti dan mahukan sesuatu yang lebih baik di Johor Bahru,” katanya.

 

[BERNAMA]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply