Malaysia Tengah Lengkapkan Proses Ratifikasi CPTPP | Malaysia News

Malaysia Tengah Lengkapkan Proses Ratifikasi CPTPP

CPTPP

Malaysia Tengah Lengkapkan Proses Ratifikasi CPTPP

Kuala Lumpur, MTN – Malaysia sedang melengkapkan proses ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), selewat-lewatnya pada suku ketiga 2022.

CPTPP menyediakan ruang dan peluang kepada industri dan pembekal perkhidmatan menerima manfaat optimum melalui akses pasaran luas dan semakin berkembang, susulan permohonan kemasukan anggota baharu seperti United Kingdom (UK), China dan Taiwan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata CPTPP dapat memberi akses pasaran lebih luas susulan pengurangan dan penghapusan duti import ke atas barang eksport Malaysia.

Beliau berkata, layanan keutamaan bakal dinikmati Malaysia melalui CPTPP akan memberi kelebihan dan meningkatkan daya saing barang eksport, dalam pasaran negara pengimport CPTPP, berbanding negara lain yang tidak menganggotainya.

Malaysia mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), sama ada secara dua hala atau serantau dengan semua negara anggota CPTPP, kecuali Kanada, Mexico dan Peru, katanya.

“Tanpa CPTPP, Malaysia tidak akan dapat menikmati sebarang bentuk akses pasaran berkeutamaan di ketiga-tiga negara tersebut.

“Ini menjejaskan daya saing barang eksport Malaysia ke negara tersebut, khususnya memandangkan barang eksport serupa daripada Vietnam dan Singapura telahpun menikmati akses berkeutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, Isnin (15/11).

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, CPTPP menambah baik peruntukan berkaitan peraturan tempasal (ROO) sedia ada di dalam kebanyakan FTA lain yang sudah dimeterai Malaysia dengan peraturannya lebih bersifat memudah cara perdagangan dan mesra perniagaan.

Melalui pelaksanaan peraturan tempasal di bawah CPTPP, sektor perkilangan di Malaysia akan mempunyai lebih banyak pilihan dalam memperolehi sumber bahan mentah dari negara anggota CPTPP, seterusnya melayakkan mereka menikmati pengurangan atau penghapusan duti import.

“CPTPP juga menyediakan ekosistem stabil, telus dan boleh diramal bagi meningkatkan eksport Malaysia dalam sektor perkhidmatan ke pasaran negara anggota, di samping akses pasaran bagi sektor barangan.

“CPTPP juga menyediakan pelbagai program bina upaya dan bantuan teknikal bagi industri tempatan. Ketika ini, program sedemikian tidak ditawarkan kepada Malaysia kerana masih belum meratifikasi CPTPP.

“Kelewatan meratifikasi CPTPP juga akan menyebabkan Malaysia kehilangan peluang mengetengahkan pendirian dan kepentingan dalam rundingan kemasukan anggota baharu atau ‘accession negotiations’ yang mempunyai impak signifikan ke atas negara,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan hak keistimewaan Bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, walaupun kerajaan meratifikasi.

Katanya, terdapat pelbagai pengecualian dan fleksibiliti berkaitan hak Bumiputera di bawah Perjanjian CPTPP, antaranya bagi perolehan kerajaan, pemberian subsidi dan pengeluaran lesen atau permit khas.

“Dasar dan hak keistimewaan Bumiputera merupakan satu tunjang Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan tidak akan berkompromi dalam mempertahan dasar tersebut di dalam mana-mana perjanjian antarabangsa.

“Peruntukan ini terkandung dalam Annex II Non-Conforming Measures di bawah Perjanjian CPTPP, selain turut menekankan perlindungan dan penguatkuasaan Hak Harta Intelek, bertujuan menggalakkan inovasi dan pemindahan teknologi.

“Peruntukan terkandung dalam Bab Hak Harta Intelek adalah kondusif untuk kebajikan sosial dan ekonomi negara, sekali gus memberi manfaat seimbang kepada semua pihak iaitu pengeluar dan pengguna,” katanya.

[BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply