Pelabur Asing Muncul Dengan Menjual Jumlah Ekuiti RM246.32 Juta Minggu Lalu | Malaysia Top News
January 16, 2021

Pelabur Asing Muncul Dengan Menjual Jumlah Ekuiti RM246.32 Juta Minggu Lalu

Kuala Lumpur, MTN – Pelabur asing muncul sebagai penjual bersih di Bursa Malaysia, membabitkan jualan berjumlah RM246.32 juta untuk minggu berakhir 13 Nov, demikian menurut MIDF Research.

Dalam satu nota hari ini, firma penyelidikan itu menyatakan jangkaan aliran masuk asing positif, dirangsang oleh pengumuman belanjawan pengembangan tidak berlaku kerana momentum kegiatan jualan pada Selasa melebihi aliran masuk bersih pada Khamis dan Jumaat.

Semasa pasaran dibuka untuk urus niaga Isnin minggu lepas, pelabur asing membeli sejumlah RM3.53 juta bersih ekuiti tempatan dengan peruncit dan institusi tempatan, masing-masing bertindak sebagai pembeli dan penjual bersih dengan jumlah RM39.52 juta dan -RM43.05 juta.

“Bagaimanapun, pada pertengahan minggu, situasi ini berubah kerana aliran keluar terbesar untuk minggu berkenaan dicatatkan pada Selasa dengan aliran kumulatif berjumlah RM332.97 juta dan berterusan ke hari berikutnya berjumlah RM7.49 juta. Sementara itu, aliran masuk terbesar ialah pada Khamis dengan jumlah RM87.25 juta”, katanya.

Setakat tahun 2020, jualan bersih pelabur asing telah mencecah RM23.13 bilion ekuiti di Bursa Malaysia.

“Berbanding dengan tiga pasaran lain di Asia Tenggara yang kami pantau minggu lepas; Thailand mencatatkan aliran masuk bersih asing paling banyak sementara Malaysia menyaksikan aliran keluar terbesar,” kata MIDF Research.

Dari segi penyertaan peserta runcit, minggu lepas menyaksikan peruncit sebagai pembeli bersih dengan sejumlah RM129.08 juta ekuiti minggu lepas sementara pembelian bersih oleh institusi tempatan berjumlah RM117.24 juta dalam tempoh yang sama.

“Peruncit sebagai pembeli bersih meneruskan kegiatan membeli masing-masing ke minggu kelima sejak awal November dengan mencatatkan lantunan mulai dua minggu lepas tetapi secara lebih berhati- hati.

“Kami menjangkakan momentum belian akan berterusan minggu depan, dipacu oleh perkembangan positif vaksin untuk COVID-19,” kata MIDF Research.

Pembelian bersih berjumlah sehingga RM11.82 bilion daripada peruncit setakat tahun 2020, sementara pelabur institusi membeli sehingga berjumlah RM10.94 bilion.

Dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan peningkatan mingguan 49.17 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) sementara pelabur asing menyaksikan kenaikan ADTV 83.68 peratus dan institusi tempatan ada 61.11 peratus.

[bernama]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •