Pembangunan Infrastruktur Antara Harapan Masyarakat Mersing | Malaysia News

Pembangunan Infrastruktur Antara Harapan Masyarakat Mersing

Pembangunan Infrastruktur Antara Harapan Masyarakat Mersing

Kuala Lumpur, MTN – Pembangunan infrastruktur yang lebih pesat di daerah ini, adalah antara harapan masyarakat Mersing, sekembalinya Datuk Dr Abd Latiff Ahmad sebagai menteri kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelantikan Dr Abd Latiff sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar mendapat reaksi positif daripada masyarakat setempat dan rata-rata mereka yang ditemui Bernama turut berkongsi harapan mereka mengenai pembangunan di daerah itu.

Mera Ali, 28, berkata dia berasa bangga memandangkan sudah agak lama wakil rakyat daripada Mersing tidak tersenarai dalam barisan Kabinet selain menyifatkan portfolio itu bertepatan dengan daerah berkenaan yang terletak di kawasan luar bandar.

“Saya berharap agar pelbagai projek pembangunan dapat dirancang bagi membangunkan daerah ini termasuk mewujudkan Lebuhraya Mersing-Johor Bahru dan Mersing-Kluang bagi menjimatkan masa perjalanan.

“Selain itu, pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur dengan menambah lampu jalan dan menurap semula jalan raya yang dilihat kurang efisien ketika ini, perlu ditambah baik, berikutan sering dilalui kenderaan berat demi keselamatan dan keselesaan pengguna,” kata pekerja swasta yang tinggal di Felda Tenggaroh, di sini, kepada Bernama hari ini.

Penjawat awam Asyiedha Ranee pula percaya pengalaman dan kredibiliti dimiliki Dr Abd Latiff dalam menerajui kementerian itu akan meningkatkan lagi taraf hidup rakyat terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Pada masa sama, saya berharap agar Dr Abd Latiff dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan belia sekali gus merapatkan jurang ekonomi masyarakat luar bandar dan bandar.

“Selain itu, diharap dapat menyediakan kemudahan infrastruktur internet yang kini menjadi antara keperluan dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan,” kata wanita berusia 35 tahun dari Kampung Semaloi, Endau.

Pengusaha kedai makan Suria Hassan pula mengharapkan sebuah pusat beli-belah yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam dapat dibina di daerah ini memandangkan jarak perjalanan dari Mersing ke Johor Bahru mengambil masa dua jam.

“Justeru, projek itu nanti dijangka dapat memberi  limpahan ekonomi kepada anak setempat selain menarik kedatangan pelancong untuk berkunjung ke Mersing,” katanya yang tinggal di Kampung Sri Pantai di sini.

Dr Abd Latiff, berpengalaman hampir 30 tahun dalam politik dan pernah memegang beberapa jawatan di peringkat Persekutuan iaitu Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Sumber Manusia dengan terakhir sebagai Timbalan Menteri Pertahanan antara 2010 hingga 2013.

Beliau merupakan Ahli Parlimen Mersing selama lima penggal sejak tahun 1999.[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply