Saham IJM Melonjak Selepas Raih Kontrak Baharu | Malaysia News

Saham IJM Melonjak Selepas Raih Kontrak Baharu

Saham IJM Melonjak Selepas Raih Kontrak Baharu

Kuala Lumpur, MTN – Saham-saham IJM Corporation Bhd (IJM Corp) meningkat hari ini susulan kejayaan konglomerat itu meraih kontrak baharu bernilai RM530 juta membabitkan kerja-kerja bagi tempoh 36 bulan.

Projek yang dijangka siap menjelang Mei 2023 itu merangkumi pembinaan dua blok pangsapuri servis iaitu TRX Residences di Tun Razak Exchange, Jalan Tun Razak/Jalan Davis, Kuala Lumpur.

Ia terdiri daripada Menara A setinggi 53 tingkat (443 unit) dan Menara B setinggi 57 tingkat yang meliputi 453 unit.

“Kami difahamkan bahawa TRX Residences adalah kontrak pertama diraih IJM Corp bagi tahun kewangan 2020 dan merupakan projek keempat dalam portfolio pembinaan ikonik kumpulan itu di TRX.

“Ia satu pengiktirafan terhadap kepakaran kumpulan itu dalam pembinaan bangunan tinggi. Malah, IJM Corp juga sedang membina ibu pejabat baharu HSBC Malaysia dan Affin Bank di TRX,” demikian menurut kata MIDF Research dalam nota penyelidikannya, hari ini.

Kontrak itu akan menokok RM530 juta dari segi nilai tempahan semasa IJM Corp yang dianggarkan sekitar RM5 bilion.

MIDF turut menaikkan saranan ‘beli’ daripada ‘neutral’ terhadap saham-saham kumpulan itu dengan harga sasarannya tidak berubah pada RM1.95.

Pada 11 pagi ini, saham IJM naik enam sen kepada RM1.86 dengan 890,700 saham saling berpindah tangan.[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply