Penampilan Che Ta Di KLFA 2021 Mencuri Tumpuan Ramai | Malaysia News
December 14, 2024

Penampilan Che Ta di KLFA 2021 Mencuri Tumpuan Ramai

Penampilan Che Ta di KLFA 2021 Mencuri Tumpuan Ramai

Penampilan Che Ta di KLFA 2021 Mencuri Tumpuan Ramai

Kuala Lumpur, MTN – Kehadiran Rozita Che Wan atau Che Ta sebagai ‘muse’ pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail di Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFA) 2021 petang semalam di sebuah hotel terkemuka tanah air mencuri tumpuan ramai.

Mana tidaknya, pelakon dan ahli perniagaan sensasi itu sanggup berfesyen dengan menutup mukanya dengan kain jaring atau ‘net’ yang ditinta dengan batu berlian berwarna perak sepanjang majlis berlangsung.

Ironinya, ibu kepada tiga cahaya mata itu antara yang sentiasa menjaga penampilan dan bersolek cantik ketika berada di depan khalayak mahupun berkongsi kandungan gambar atau video di Instagram.

Che Ta menyarung gaun moden rona hitam rekaan pereka berkenaan menggunakan fabrik jenis twill dijahit penuh dengan lebih 5,000 butir batu berlian dan ‘chunky bead’. Baju bertatah berlian ibaratnya.

Gaun berharga RM50,000 itu dikatakan memakan masa selama sebulan untuk disiapkan kerana serba serbi ‘hand made’ atau jahitan tangan. Sarung tangan dan pelitup muka rona sama masing masing menggunakan ‘net’ juga bertatah berlian berwarna perak.

Bahkan, Ezuwan sendiri juga tidak kalah dengan sut hitam berharga RM40,000 menggunakan fabrik broket dilengkapi 10,000 butir batu ‘chunky bead’ dan berlian jahitan tangan. Fabrik ‘net’ pelitup muka dan sarung tangan juga bertatah batu jenis sama.

Rata-rata melihat penampilan Che Ta dan Ezuwan menutup seluruh tubuh termasuk bahagian muka mereka saling tak tumpah seperti gaya selebriti Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West.

Tidak kurang juga melihat gaya itu seperti melemaskan. Malah komen berbunyi ‘tak lemas ke pakai macam itu’ kelihatan di ruangan komen media sosial mereka.

Bahkan ramai terkejut kerana Che Ta yang selama ini selesa menunjukkan wajah bersolek buat kali pertama menutupi raut wajahnya ibarat Kim K Versi Muslimah.

Che Ta berkata, dia bersetuju untuk menjadi ‘muse’ atau ‘plus one’ (pasangan Ezuwan) kerana banyak sebab selain melihat ia satu pengalaman berbeza seiring dengan era pandemik menuju endemik.

“Kami memang berkawan baik. Malah saya rasa permintaannya untuk berfesyen macam ini bukan selalu atau seperti lazimnya. Jadi kenapa saya nak menolak. Ia satu kelainan.

“Lagipun pelitup muka itu menggunakan kain jaring yang ada terang terang ada lubang atau ‘udara’. Memanglah saya boleh bernafas. Kalau guna kain yang bertutup semua tanpa ada ‘udara’, saya sendiri fikir banyak kali. Barangkali semput juga saya jadinya.

“Cuma sedikit mencabar saya harus kekal dengan gaya sebegitu sepanjang majlis. Tetapi sesekali orang tak payah tengok muka kita dalam acara seumpama itu, why not. Telefon bimbit pun saya terpaksa abaikan ketika majlis berlangsung,” katanya yang turut menjadi penyampai trofi pada acara itu.

Che Ta dan Ezuwan Ismail
Che Ta sebagai ‘muse’ pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail (kiri).

Sementara itu, Ezuwan yang sudah lapan tahun mengukuhkan jenama fesyennya percaya dan yakin Che Ta mampu ‘carry’ ilham dan imaginasi rekaannya pada acara yang turut mendapat kerjasama jenama Lexus itu.

“Apabila diundang ke acara itu, nama Che Ta terlintas dan pantas bermain di minda. Cuma apabila dia bersetuju nak tutup wajahnya saya sendiri tak menyangka.

“Semua tahu, dia antara selebriti yang mengutamakan penampilan diri dengan wajah siap bersolek cantik. Tapi dia jenis yang tak banyak songeh dan sempoi.

“Tiada istilah meniru atau dibayangi sesiapapun. Fesyen ini pendek kata kenalah dengan musim pandemik,” kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Sebelum ini, Janna Nick yang baru dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34 juga tampil dengan gaya seakan sama di samping kekasih hatinya Dini Schatzmann yang turut memakai penutup muka seakan-akan karakter di dalam filem Korea popular, Squid Game ketika menghadiri acara itu.

Acara KLFA yang berlangsung di Hotel Shangri La itu turut dihadiri lebih 80 orang pereka fesyen di samping selebriti ternama lain.

Kategori dipertandingkan dalam KLFA turut menyaksikan warga kreatif industri fesyen dihargai termasuk pereka Alia Bastamam, jurusolek Khir Khalid dan ramai lagi.

 

[MG]

Facebook Comments

Author Profile

Maulia

About The Author

Leave a Reply