Penang FC Meminta MFL Meningkatkan Jumlah Tempat Duduk Penonton Hingga 30 Peratus
Penang FC Meminta MFL Meningkatkan Jumlah Tempat Duduk Penonton Hingga 30 Peratus
Kuala Lumpur, MTN – Pasukan Penang FC (PFC) meminta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menaikkan jumlah peratusan penonton di stadium yang dibenarkan untuk menyaksikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun depan dari 10 peratus kepada 30 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Amar Pritpal Abdullah berkata, jumlah 10 peratus yang diusulkan MFL kepada kerajaan tidak memadai untuk pasukannya kerana hanya sebahagian kecil penonton boleh memasuki Stadium Bandaraya berkapasiti 12,000 tempat duduk yang menjadi gelanggang tuan rumah.
Beliau berkata, pasukan itu memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus kehadiran daripada kapasiti stadium memandangkan jumlah penonton menyaksikan skuad Harimau Kumbang itu semakin meningkat tahun ini.
Katanya, berdasarkan rekod, PFC mencatat jumlah kehadiran tertinggi sehingga 7,000 penonton dalam saingan Liga Premier 2020 sebelum larangan kehadiran penyokong ke stadium dikenakan susulan penularan COVID-19 bermula Mac lepas.
“Jika stadium itu berkapasiti sedikit berilah sehingga 30 peratus. Sebagai contoh Penang FC bermain di Stadium Bandaraya kapasitinya 12,000 sahaja, jadi jika 30 peratus kami boleh dapat hampir 4,000 penyokong berbanding 1,200 kalau mengikut usul 10 peratus itu.
“Bagi PFC kita rugi banyak (jika 10 peratus) kerana momentum kehadiran penyokong kami sudah meningkat dari antara 3,000 hingga 4,000 kepada 7,000 tetapi malangnya penularan COVID-19 telah jejaskan perkembangan positif itu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Amar Pritpal berkata, PFA bersedia memastikan keselamatan penonton berada di tahap tertinggi dengan bekerjasama bersama pelbagai agensi penguatkuasaan, selain tampil dengan garis panduan ketat.
Rabu lepas, perwakilan Kongres MFL menyokong usul badan pentadbir itu kepada kerajaan untuk membawa masuk penonton berskala kecil dengan jumlah 10 peratus daripada kapasiti stadium bermula musim depan.
Sementara itu, Pengurus pasukan Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang menyifatkan jumlah 10 peratus itu merupakan satu permulaan yang baik dalam usaha membuka semula kemasukan penonton ke stadium dalam norma baharu.
“Memang jumlah 10 peratus itu ada dibangkitkan tetapi rata-rata pasukan berpandangan ia jumlah yang ideal buat sementara ini untuk kita menilai dan melihat keberkesanan di masa depan.
“Saya menyeru kepada kerajaan untuk mempertimbang dan membenarkan kehadiran penonton untuk menyelamatkan industri bola sepak negara,” katanya.
Bagi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, meskipun bukan jumlah yang besar, namun peratusan itu dapat memberikan impak terutama dalam memeriahkan kembali kancah Liga-M.
“Selain itu kesannya dapat dilihat dari segi kewangan menerusi penjualan tiket, yang sedikit sebanyak boleh menampung kos-kos berkaitan,” jelasnya.
[MG]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor