Penerbangan Miri Ke Lawas, Limbah Bakal Ditambah | Malaysia News

Penerbangan Miri ke Lawas, Limbah Bakal Ditambah

Penerbangan

Penerbangan Miri ke Lawas, Limbah Bakal Ditambah

MIRI, MTN – Kekerapan penerbangan dari Miri ke Lawas dan Limbang bakal ditambah berikutan rungutan pengguna yang menghadapi kesukaran mendapatkan tiket laluan udara ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata kekerapan penerbangan di Sarawak akan bertambah bermula 11 hingga 31 Disember ini, membabitkan 307 penerbangan.

“Saya sudah mengarahkan MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) mengkaji situasi ini kerana kita perlu menambah bilangan penerbangan (ke Lawas dan Limbang) dan meningkatkan kebolehcapaian orang ramai dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Laut Miri, Jabatan Laut Wilayah Sarawak di sini, Jumaat (3/12/2021).

Mengenai pejabat baharu berkenaan, Ka Siong berkata, projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM9 juta itu siap sepenuhnya Ogos tahun lalu, dengan reka bentuk terkini serta dilengkapi kemudahan pejabat yang moden dan mampu menempatkan 40 kakitangan.

Beliau memaklumkan, Kementerian Pengangkutan komited memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada seluruh warga Keluarga Malaysia.

Terbaharu katanya, Kerajaan Persekutuan meluluskan pembinaan sebahagian Jeti Pejabat Laut di Sarikei dianggar bernilai RM3.6 juta.

“Jeti baharu di Sarikei itu berupaya mewujudkan persekitaran selamat dan kondusif bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta meningkatkan aktiviti pemantauan keselamatan navigasi di sepanjang perairan Sarikei,” katanya.

PRN Sarawak akan berlangsung pada 18 Disember ini.

 

[BH]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply