Persaingan Kuasa dalam Tubuh Pakatan Harapan

Persaingan Kuasa dalam Tubuh Pakatan Harapan
Kuala Lumpur, MTN – Penganalisis politik, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata inilah realpolitik kerajaan PH ini, ketidaktentuan dasar dan hala tuju, hasil dari persaingan kuasa kepimpinan dan parti-parti dalaman pakatan itu.
Pengumuman Dr Mahathir pada lewat malam 21 Februari 2020 sejurus selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH membangkitkan dua ketidaktentuan baharu dalam isu ketidaktentuan transisi kepimpinan kini.
Pertama, sampai bilakah Dr Mahathir akan memerintah? Dua tahun, tiga tahun, atau sepenggal? Kedua, apakah benar Presiden PKR Anwar Ibrahim akan menggantikan beliau?
Umum mengetahui, Anwar telah disepakati oleh PH pada awal 2018 sebagai pengganti Dr Mahathir sekiranya PH berjaya ke Putrajaya pada PRU 2018. Cakap-cakap asal, malah oleh Dr Mahathir sendiri, hanya untuk dua tahun sahaja.
Kemudian selepas memegang kuasa, Dr Mahathir mengatakan itu adalah cadangan semata-mata, dan beliau tidak terikat dengan itu. Beberapa bulan lepas, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas persidangan APEC pada November 2020, sekaligus merupakan lanjutan dari Mei 2020, dan dari ‘cakap-cakap asal’.
Terbaru, pada 21 Februari 2020, Dr Mahathir mengumumkan kuasa untuk menentukan kedudukannya, dan untuk berapa lama, adalah hak prerogatifnya.
Terpulang pada beliau untuk memerintah sampai bila tanpa perlu meletakkan satu tarikh masa. “Tiada tempoh masa, tiada tarikh dan tiada apa-apa,” kata Dr Mahathir dalam soal ini.
Dan apabila ditanya lagi oleh wartawan “adakah Anwar penggantinya?”, Dr Mahathir mengelak dan menyatakan persoalan itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.
Hal ini membangkitkan persoalan dan dilema transisi dalam kepimpinan PH, yang bukan sahaja tidak jelas, tetapi semakin tidak jelas.
Dari satu sudut yang positif, keputusan ini boleh dilihat sebagai satu kompromi kepimpinan PH dan penerusan pakatan parti itu sebagai pemerintah, dengan mengurangkan risiko penubuhan kerajaan baru bersama Muafakat Nasional (MN).
Hal ini penting dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi semasa kekal dan tidak terus terganggu dengan permainan penguasa-penguasa politik. Ia juga boleh dilihat sebagai satu langkah untuk menjaga air muka Dr Mahathir yang agak teruk ditekan oleh elemen liberal di dalam PH, selain memastikan kelancaran perlaksanaan dasar pentadbiran beliau.
Sebaliknya, perkembangan terbaharu ini turut memperlihatkan penerusan konsep ketertinggian eksekutif dalam sistem politik Malaysia, khasnya kedudukan dan kekuasaan perdana menteri.
Struktur parti BN sebelum ini dikritik ramai penganalisis sebagai tidak seimbang, dengan pemusatan kuasa eksekutif yang tinggi di tangan perdana menteri, yang memboleh elemen kleptokrasi terbentuk sebelum ini.
Organisasi parti PH, di peringkat awal, dilihat lebih seimbang, khasnya dengan penginstitusian Majlis Presiden PH. Majlis ini bersidang setiap bulan. Ia menyediakan bukan sahaja wadah untuk para presiden parti komponen PH untuk berbincang secara langsung dengan Perdana Menteri, tetapi juga menyarankan agenda bersama parti pemerintah dan menyemak kekuasaan PM, agar lebih setara dan kolektif bersama kepimpinan parti-parti lain di dalam parti itu.
Namun, isu peralihan kuasa perdana menteri dan lain-lain dasar PH menunjukkan bahawa isu kekuasaan, lebih spesifik lagi, ketertinggian kuasa perdana menteri di dalam sistem politik Malaysia masih lagi berterusan di dalam rejim Malaysia Baru.
Author Profile
Latest entries
NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri