RAKYAT BETUL-BETUL MENYESAL UNDI PH
RAKYAT BETUL-BETUL MENYESAL UNDI PH
Kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kerajaan PH akan berdepan masalah jika rakyat ketika ini berasa menyesal mengundi gabungan itu dalam PRU14 yang lalu.
Tegas beliau, pilihan itu hanya dilihat betul jika rakyat merasakan kehidupan mereka di bawah kerajaan PH ini adalah lebih baik berbanding semasa BN dahulu.
“Kalau mereka merasakan suatu kesilapan mengundi BN, ia adalah petanda bahaya kepada PH,” ujar beliau lagi.
Apa sebenarnya perasaan rakyat ketika ini?
Kenapa hanya dalam tempoh beberapa bulan saja selepas menumbangkan Najib Razak, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah disanjung serta diminati semula?
Mengapa dalam tiga PRK terakhir – Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau – pengundi tidak lagi memberi kemenangan kepada PH sebagaimana empat PRK sebelumnya – Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson?
Adakah pengundi sudah menyesal dan menyedari kesilapan mereka, lalu ingin berpatah balik memilih BN semula?
Dalam kebanyakan keadaan, walaupun pedih untuk diakui, majoriti rakyat sememangnya menyesal mengundi PH dan menjadikan gabungan itu sebagai kerajaan.
Penyesalan paling besar ialah kerana PH gagal menunaikan janji-janji yang dimanifestokan dalam PRU14 lalu.
Janji PTPTN, menghapuskan hutang Felda, menurunkan kos sara hidup serta harga barang, memulihkan ekonomi, menambah peluang pekerjaan, menghapuskan tol serta banyak lagi janji yang terkandung dalam Buku Harapan, bukan saja gagal ditunaikan tetapi asyik-asyik menyalahkan kerajaan lalu sebagai alasan ketidakmampuan melaksanakannya.
Kalau pun mahu memberi alasan, biarlah logik serta munasabah dan janganlah dalam mengeluh ketiadaan wang, namun kerajaan dalam waktu yang sama ingin pula melaksanakan projek kereta ketiga, kereta terbang dan membawa semula perlumbaan kereta F1.
Apa sebenarnya keutamaan kerajaan – menjaga kebajikan rakyat atau memenuhi keghairahan serta nafsu peribadi segelintir pemimpinnya?
Kehanyakan janji yang ditunaikan selama 11 bulan memerintah ini hanyalah janji-janji kecil yang tidak memberi banyak kesan kepada kehidupan rakyat.
GST yang dihapuskan, tetapi diganti dengan SST yang realitinya tidak banyak beza pun antara keduanya. Harapan rakyat untuk melihat SST yang diperkenalkan semula adalah sama dengan kaedah lama seperti sebelum GST diperkenalkan dahulu, langsung tidak menjadi kenyataan.
Bagi kebanyakan rakyat, dengan ada juga cukai perkhidmatan 6 peratus dalam SST, ia tidaklah berbeza dengan GST yang diperkenalkan Najib sebelum ini.
Ramai yang berpandangan kini adalah lebih baik jika kadar GST terus diperkenalkan, tetapi diturunkan daripada 6 peratus kepada 3 peratus kadarnya.
Yang paling membuatkan rakyat marah ialah apabila Tun Mahathir Mohamad, di sebalik enggan menunaikan janji-janji yang membawa kemenangan kepada PH, dengan selamba berkata Buku Harapan bukanlah sebuah kitab suci yang kandungannya wajib untuk dilaksanakan.
Kenapa tidak bercakap seperti itu sebelum PRU14 lalu?
Meskipun banyak kelemahan PH seperti barisan menteri yang tidak berwibawa, dasar yang celaru dan sebagainya, berdasarkan tinjauan umum, kemarahan rakyat yang membuatkan mereka menyesal mengundi gabungan itu ialah kerana keengganan menunaikan janji serta memberi alasan yang seolah-olah memperbodohkan rakyat mengenainya.
Jika kerajaan tidak segera berusaha memulihkan keadaan dan menunaikan janji serta Tun Mahathir mesti berhenti memberi alasan yang memperbodohkan rakyat, percayalah, rasa menyesal ini akan terus berpanjangan sehingga PRU15 akan datang.
Meskipun masih ada masa lagi untuk berubah, perubahan dan menunaikan janji jangan lagi ditangguh-tangguhkan.
Author Profile
Latest entries
- PolitikMarch 18, 2020Perutusan Khas Muhyiddin: Rakyat Malaysia Tiada Dibagi Solusi!
- OpinionMarch 17, 2020Jangan Cakap Banyak Sangat Tun M, Nanti Terjangkit Covid-19 Baru Tau!
- Top NewsMarch 17, 2020Anwar Ibrahim Sampaikan Duka Wafatnya Dua Korban Terjangkit Covid-19
- Kabar LainFebruary 26, 2020Jangan Fikir Pelik Sangat Tun, Kerajaan Perpaduan itu Luar Biasa di Negara Demokratik?