Ringgit Kekal Stabil | Malaysia News

Ringgit Kekal Stabil

Ringgit Kekal Stabil

Ringgit dijangka kekal stabil pada minggu hadapan walaupun pasaran kewangan global dilanda ketidaktentuan dan beberapa cabaran lain, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi di IQI Global, Shan Saeed berkata, berita bahawa Amerika Syarikat (AS) telah bersetuju dalam prinsip kepada terma “fasa satu” perjanjian perdagangan dengan China, telah menyebabkan para pelabur meletakkan diri mereka dalam mod yang berhati-hati.

“Ringgit telah mengekalkan kestabilan struktur dalam kejutan perang mata wang yang telah dimulakan oleh Rizab Persekutuan AS pada Disember 2008,” katanya.

Ringgit bergerak dalam jajaran 4.14 hingga 4.16 berbanding dolar US, berikutan pergerakan Yuan dan harga minyak mentah.

Bergerak ke hadapan, Shan berkata, pergerakan mata wang tempatan itu pada 2020 akan berdasarkan kepada pembolehubah dan variasi luaran.

Sementara itu, penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, ringgit diniagakan kebanyakannya dalam jajaran 4.15 hingga 4.16 pada minggu ini, sebelum berita Presiden Donald Trump menandatangani perjanjian perdagangan AS-China mendorong ringgit ke paras 4.14.

“Walaupun data pengeluaran industri Oktober yang lebih rendah daripada yang dijangkakan, ringgit telah menokok kira-kira 0.5 peratus berbanding dolar US untuk minggu ini selepas ia mendapat dorongan daripada peningkatan dalam selera risiko,” katanya.

Bagaimanapun, mata wang Asia mencatatkan kerugian terhadap pound untuk tempoh berkenaan, selepas sterling melonjak berikutan keputusan pilihan raya UK yang menunjuk kepada laluan keluar Brexit yang lebih jelas.

Ringgit mengakhiri minggu ini lebih tinggi berbanding dengan dolar US pada 4.1335/1355 daripada 4.1580/1610 yang direkodkan Jumaat sebelum ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur dengan sekumpulan mata wang utama yang lain.

Dari Jumaat ke Jumaat, ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0566/0586 daripada 3.0571/0605 dan berbanding Yen, ia menokok kepada 3.7694/7722 daripada 3.8284/8315.

Bagaimanapun, ringgit menyusut berbanding Euro kepada 4.6208/6247 daripada 4.6137/6179 dan turun berbanding pound kepada 5.5443/5486 daripada 5.4570/4613 sebelum ini.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply