Seludup 500 Karton Rokok, Lelaki Indonesia Ditahan | Malaysia Top News
May 27, 2020

Seludup 500 Karton Rokok, Lelaki Indonesia Ditahan

Johor Bahru, MTN – Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai cuba menyeludup 500 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM50,000 di sebuah stesen minyak, di Jalan Felda Gugusan Adela, dekat Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Ahsmon Bajah berkata, lelaki berumur 35 tahun yang memandu kereta Proton Waja itu, ditahan kira-kira 8 pagi oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, selepas bertindak atas maklumat.

“Hasil pemeriksaan terhadap lelaki terbabit dan kereta berkenaan, polis menemui 10 kotak besar yang di dalamnya berisi 500 karton rokok seludup pelbagai jenama, yang disorokkan di dalam kenderaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Ahsmon berkata, semakan mendapati lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah dan dia kemudian dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut, mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pihaknya sehubungan itu, memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan drastik kepada penyeludup serta mereka yang bersekongkol dengan aktiviti tersebut.[bernama]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •