Siti Nurhaliza Kembali Meriahkan ABPBH
Siti Nurhaliza Kembali Meriahkan ABPBH
Kuala Lumpur, MTN – Kukuh membina nama dan populariti sejak 25 tahun lalu, hubungan Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) cukup akrab dan dekat di hati.
Tujuh kali diangkat Bintang Paling Popular, 13 trofi Penyanyi Wanita Popular dan pengiktirafan khas, Anugerah Sri Perak sempena sambutan ulang tahun ke-25 ABPBH pada 2011, menjadi bukti kehebatan serta keampuhan penyanyi Cindai ini.
Siti yang sudah menginjak usia 42 tahun mengaku acara kebanggaan akhbar BH ini menjadi antara platform menjulang nama sehingga diberi jolokan penyanyi nombor satu negara.
Menggenggam trofi Bintang Paling Popular ketika berusia 18 tahun, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini menyifatkan ABPBH sebagai simbolik keakraban hubungan dengan peminat.
“ABPBH memberi impak luar biasa kepada kerjaya artis. Dinobat sebagai Bintang Paling Popular pada usia 18 tahun adalah sesuatu yang tidak dijangka.
“ABPBH banyak meninggalkan kenangan manis dalam kerjaya seni saya. Melalui ABPBH, saya lebih dikenali dan dapat mengeratkan hubungan dengan peminat.
“Malah, melalui ABPBH, saya sentiasa bersemangat menampilkan yang terbaik dalam kerjaya seni.
“Tidak ketinggalan, saya mendapat peluang baharu apabila semakin banyak pihak percaya bakat saya,” katanya.
Pemilik empayar perniagaan SimplySiti yang mula menawan hati peminat sejak menyertai pertandingan Bintang HMI ketika berusia 16 tahun pada 1995 ini turut mempelajari sesuatu melalui ABPBH.
Akui Siti, pembelajaran itu dianggap sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.
“Saya percaya media, peminat, artis dan selebriti saling memerlukan. Semangat inilah yang saya lihat ada di ABPBH.
“Kita saling menghargai dan menjadi tulang belakang dalam kerjaya masing-masing,” katanya.
Ketika namanya di puncak, Siti membuat keputusan muktamad untuk tidak lagi bertanding di pentas ABPBH pada 2010.
Keputusan itu jelas mengundang kekecewaan dalam kalangan peminat termasuk kelab pengikutnya, SitiZone.
Namun, dari sudut lain, tindakan diambil ibu Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa Khalid itu bersebab dan membuka laluan kepada artis lain untuk mengecap kejayaan sama.
Siti memiliki 1.1 juta pengikut di akaun TikTok. Bersaing dengan Siti Nordiana, Syamel, Ernie Zakri, Izzue Islam, Haqiem Rusli dan Khai Bahar dalam kategori Artis TikTok Popular.
[BH]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor