Soal GLC, PH: Lantikan Hanya Untuk Beli Sokongan Ahli Parlimen
Soal GLC, PH: Lantikan Hanya Untuk Beli Sokongan Ahli Parlimen
Kuala Lumpur, MTN – Pakatan Harapan (PH) berkata bahawa Tindakan Perikatan Nasional (PN) memberikan jawatan kepada ahli-ahli Parlimen dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah satu langkah jelas untuk ‘membeli sokongan’ terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai majoriti tipis.
Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan diri sekiranya undi tidak percaya diadakan di Parlimen kelak.
Bagaimanapun, tindakan tersebut hanya berpotensi mendatangkan kesan negatif kepada prestasi GLC yang merupakan penyumbang utama kepada hasil negara.
“Langkah untuk memberi jawatan GLC kepada setiap ahli parlimen telah memusnahkan usaha kerajaan Pakatan Harapan yang melantik golongan profesional untuk menerajui GLC bagi memastikan tadbir urus yang cekap berdasarkan kemampuan, pengalaman dan akauntabiliti.
“Contoh jelas seperti pemecatan Pengerusi seperti Tan Sri Bakke Salleh dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Hasnita Hashim dari MARA, Dr Nungsari Ahmad Radhi dari Khazanah Research Institute, dan Zakri Khir di Perkeso.
“Terkini, bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan telah diberhentikan daripada lembaga Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.
Dengan itu, PH mendesak Muhyiddin untuk tidak mendahulukan kepentingan politik melebihi kepentingan negara dan rakyat,
Perdana Menteri katanya, perlu melantik semula golongan profesional yang dihormati industri ke dalam GLC dan badan berkanun.
“Tindakan menggantikan golongan profesional sebagai pengerusi dan pengurus dengan lantikan politik untuk ‘membeli sokongan’ menunjukkan kerajaan PN bukanlah sebuah kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat, seperti yang diakui oleh Perdana Menteri sendiri,” ujarnya lagi.[MG]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri