Video Muzik 'Nang' Cecah 1 Juta Penonton | Malaysia News

Video Muzik ‘Nang’ Cecah 1 Juta Penonton

Iman Troye

Video Muzik ‘Nang’ Cecah 1 Juta Penonton

Kuala Lumpur, MTN – Mendapat satu juta tontonan bagi video muzik untuk mana mana penyanyi Malaysia ketika ini barangkali sesuatu yang dilihat biasa dan bukan lagi ‘wow’.

Namun bagi penyanyi Iman Troye, 19, ia sesuatu yang perlu di hargai dan memberi makna tersendiri.

Apatah lagi bakat baru dengan dengan nama penuh Siti Nur Alyssa Sahabudin itu sentiasa tular dengan apa dilakukan.

Dua singlenya terdahulu, Teman dan Pejam Celik Hari Raya berjaya mencecah tontonan satu juta dalam tempoh waktu kurang seminggu dilancarkan.

Terbaharu single ketiga duta pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjudul ‘Nang’ juga meraih satu juta tontonan selepas enam hari video muzik itu dilancarkan.

“Untuk mencipta trek rekod sebegini mendapat satu juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu bagi video muzik tiga lagu nyanyian saya sesuatu pencapaian peribadi yang cukup luar biasa.

“Tambah pula tiga lagu saya masing masing ciptaan Ezra Kong dan lirik A Ramlee dilancarkan di era pandemik Covid-19 yang kita sedia maklum ketentuan pasaran muzik itu sendiri tidak mampu ditebak hala tujunya.

“Saya harus berterima kasih kepada semua yang menjadikan semua ini kenyataan. Terutama peminat serta rakan media yang tidak putus putus memberikan sokongan,” katanya.

Nang terbitan XO House Sdn Bhd dengan kerjasama Universal Music Malaysia dilancarkan 15 Oktober lalu di semua pelantar muzik digital terpilih. Video muzik lagu itu dimuat naik ke YouTube pada 22 Oktober lalu.

Lagu itu juga sohor kini di YouTube dan pernah berada dalam kedudukan top 5 platform muzik berkenaan. Malah menjadi top 10 di Spotify.

Majlis pelancaran lagu itu dilancarkan baru baru ini di sebuah hotel di ibu kota serentak dengan kempen PTTI 2 Juta Bangkit Belajar.

“Saya anggap kehadiran lagu pop Melayu berentak Jawa dan ada sentuhan tradisional ini lebih manis kerana pihak PTTI juga sudi melancarkannya.

“Malah tugas sebagai duta pusat ilmiah itu datang dengan tanggungjawab. Saya sendiri bergelar pelajar peringkat Diploma dalam bidang muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya harap dapat terus mengimbangi seni dan pelajaran sebaik mungkin.

“Saya harap selepas ini peminat akan lebih menyokong karya tempatan dan boleh membuatkan video muzik lagu nyanyian yang lain mendapat tontonan satu juta juga tetapi dalam masa kurang sehari seperti penyanyi antarabangsa lain.

“Jika itu mampu terjadi, saya akan takjub dan speechless,” katanya yang merakamkan lagu itu sekitar Januari lalu.

Kata Iman, bukan sebuah kerja mudah untuk membawa konsep lagu seperti Nang di dalam sesebuah hasil karya lagu Melayu pop.

“Apatah lagi untuk berada di kedudukan pertama di senarai sohor kini YouTube. Kualiti lagu dan seni muzik video akan sentiasa menjadi kepentingan pertama saya.

“Saya rasa amat beruntung untuk berada di sini dan dapat peluang untuk memperjuangkan karya traditional Malaysia kita. Saya harap semua akan terus menyokong karya hasil artis tempatan kita supaya industri muzik akan terus lebih maju,” katanya.

Iman Troye kini menjadi duta pusat ilmiah, PTTI bersama MK.
Iman Troye kini menjadi duta pusat ilmiah, PTTI bersama MK.

Video muzik single ketiga ini membabitkan kos perbelanjaan lebih RM100,000 untuk pembikinannya. Ia sekali gus menjadi video muzik termahal diterbitkan di bawah syarikat XO House Sdn Bhd.

Penggambaran video muzik itu dibuat selama dua hari pada 6 dan 7 Oktober.

Video muzik arahan Lily Samsuddin ini turut menampilkan sisi bakat tari Iman yang dikoreografi Aus daripada Nasty Rock Crews manakala Adib Hamdi dan Alia Elena pula bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.

Nang juga dikolaborasikan oleh Hotlink yang menawarkan pengalaman hiburan tanpa henti dengan menguasakan hiburan tempatan dalam laman sosial kegemaran Malaysia seperti YouTube, Facebook, Instagram dan TikTok.

Menerusi kolaborasi itu, jenama telekomunikasi itu memantapkan penguasaan hiburan mereka dan menginspirasikan semangat #BikinSampaiJadi sekali gus memberikan peminat hiburan tempatan lebih banyak kandungan eksklusif dan pengalaman terbaik.

Terdahulu, penyanyi genit bertudung itu turut berjaya meraih 4X Platinum bersamaan RM1 juta membabitkan talent management revenue termasuk persembahan dalam lagu Teman dan Pejam Celik Hari Raya.

[MG]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply