Wan Azizah: Pakatan Harapan Ambil Iktibar Keputusan PRK Kimanis | Malaysia News

Wan Azizah: Pakatan Harapan Ambil Iktibar Keputusan PRK Kimanis

Wan Azizah: Pakatan Harapan Ambil Iktibar Keputusan PRK Kimanis

Kuala Lumpur, MTN — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Pakatan Harapan (PH) mengambil iktibar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dan akan perbaiki keadaan bagi meraih sokongan rakyat.

“Kita mendengar dan mengambil itu (keputusan PRK) sebagai iktibar, apakah keterangan dan petunjuk untuk perbaiki keadaan supaya mendapat balik mandat dan juga sokongan rakyat,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis semalam menyaksikan BN mengekalkan kerusi itu selepas calonnya Datuk Mohamad Alamin, 48, menang dengan majoriti 2,029 undi, menewaskan pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Dr Wan Azizah, yang juga presiden PH, berkata kerajaan menghormati keputusan rakyat di Kimanis yang mungkin dipengaruhi isu-isu tersendiri di peringkat negeri Sabah dan kawasan Parlimen itu termasuk isu Pas Sementara Sabah (PSS).

“Yang pentingnya adalah untuk kita melihat apa yang kita boleh perbaiki diri sendiri, memang ada isu seperti PPS, semua itu, tetapi keputusan PPS itu adalah masa Barisan Nasional (BN) dan mereka sekarang menyatakan itu kesalahan kita (kerajaan PH).

“(Sebenarnya) tidak, kita memperbaiki keadaan, mungkin mesejnya tidak sampai ke bawah,” katanya.

Pada September tahun lepas, Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah bersetuju mengeluarkan PSS bermula 1 Jun tahun ini bagi menggantikan tiga dokumen dikeluarkan kepada warga asing tinggal lama di Sabah iaitu IMM13, Sijil Banci dan Kad Burung-Burung.

Cadangan pelaksanaan PSS itu tular di media sosial sehingga menimbulkan kontroversi berikutan tindakan pihak tertentu memutar-belit fakta sehingga berlaku kekeliruan.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah selaku pengerusi Majlis Penasihat PKR berkata beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin PKR untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan terhadapnya atas dakwaan salah laku disiplin.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor berkata surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Ampang itu pada Jumaat lepas.

Terdahulu, timbalan perdana menteri mengedarkan 500 kotak buah limau mandarin dan beramah mesra dengan penduduk di pasar pagi Pandan Jaya dan Taman Muda di Parlimen Pandan di sini, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu di BUTTERWORTH, Timbalan Presiden PH Lim Guan Eng berkata PH akan berkerja lebih keras lagi dan fokus kepada apa yang diperlukan rakyat khususnya dari segi ekonomi.

“Kami terima keputusan rakyat untuk mengekalkan Barisan Nasional dalam kawasan kubu mereka (Kimanis) dan saya ingin menasihati semua wakil rakyat (PH) untuk kerja lebih kuat,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Op Selamat 16 dan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Seberang Perai Utara bersempena Tahun Baharu Cina hari ini.

Lim yang juga menteri kewangan dan setiausaha agung DAP berkata beberapa usaha kerajaan untuk membantu rakyat telah dilaksanakan, antaranya pemberian e-dompet RM30, pengurangan kadar tol untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan program #MalaysiaKerja bagi membantu mereka yang mencari pekerjaan.

“Itu sebab saya selalu tegaskan kita mesti lebih dengar suara rakyat, kerja lebih kuat untuk rakyat …supaya janji-janji dalam manifesto dapat dilaksanakan,” katanya.[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply