‘Yang Penting Melayu Berkuasa’
‘Yang Penting Melayu Berkuasa’
Kuala Lumpur, MTN – Maka telah diadakan satu pemilihan ketua kelas tingkatan lima di sebuah sekolah yang berkesudahan tiada seorang pun boleh mendabik dada mengucap kalimah keramat “I have the numbers!”
Maka akan diadakan pemilihan pusingan kedua esok hari.
“Sepatutnya kita boleh menang. Kita majoriti!”
Begitu lantang sekali suara beliau.
“Aku syak lama dah si awak ni memang tali barut Cina! Munafik! Siap bangga tunjuk dekat Instagram kata dia undi apek tu! Jadi tali barut, jual bangsa kita dekat orang kafir!” Sambung si kawan beliau itu.
Perkataan kafir itu memang sengaja ditekankan sebutannya menjadi ‘kapir’ sepertimana dia menulis ‘biadap’ untuk biadab.
“Ustaz dah cakap dah yang ketua kena orang Melayu Islam. Orang kita. Yang pegang jawatan-jawatan dalam kelas ini pun kena Melayu Islam. Kita boleh bagi satu dua dekat Cina tapi jangan lebih-lebih sebab nanti diaorang akan pijak kepala kita!” Berbuih-buih mulut beliau saat melantunkan kata-kata ini.
“Betul tu! Kita ni majoriti. Kita tak patut kalah. Dan pemilihan ketua kelas ni pun tak patut diadakan. Kita patut minta cikgu Suraya pilih kau terus jadi ketua!” Tambah kawan beliau itu.
Kau masih diam membisu.
“Tapi kita kan ada 30 orang dalam kelas. Enam belas Melayu empat belas Cina. Si awak undi apek dan koi pulak tak mengundi jadi sepatutnya apek yang menang.
“Tapi tadi kiraan sama – 15 kau dan 15 dia. Maknanya ada seorang Cina undi kau,” ujar hang yang merupakan satu-satunya berlainan jantina dalam kumpulan itu.
“Haa yang sorang tu kita bagi dia jadi penolong bendahari. Ataupun AJK keceriaan,” sambung beliau sambil membetulkan songkok hitamnya.
“Kenapa tak boleh bagi bendahari?” Soal hang, polos.
Melayu kena tolong Melayu
Merah padam muka beliau menerima soalan itu. Macam menerima soalan sama ada babi itu haram atau tidak untuk dimakan.
“Hang gila! Nanti apek songlap duit kita macamana? Lepastu minta duit je memanjang dekat kita dan bagi alasan duit tak cukup. Padahal apek syok makan duit tu!”
“Tapi yang buat benda tu semua si koi dulu masa jadi ketua kelas tahun lepas dan kome bendaharinya. Ingat lagi duit kelas kita hilang padahal dua toyol tu dah guna duit tu untuk baiki basikal lajak. Mujur si kome tu tak masuk kelas ni sebab subjek sains tak lepas masa PT3!” Balas teman yang berdiri di sebelah hang.
Dirinya yang paling rendah fizikalnya dalam kumpulan itu tiba-tiba dia terasa menjadi tinggi dan kembang hidungnya apabila hang mengangguk bersetuju.
“Kau patut terima je syarat si koi tu. Dia nak jawatan penolong ketua kelas? Kau bagi jelah. Nak jawatan bendahari? Bagi jelah. Koi tu kan Melayu. Melayu kena tolong Melayu,” pujuk kawan beliau dengan menggunakan nada suara tuanpenasihatduapuluhlimapersen.
“Kalau koi songlap duit kita lagi?” Soal hang dengan nada konfrontasi.
“Tak apa! Janji koi tu Melayu. Koi songlap duit kelas pun tapi koi belanja kita makan kat kantin juga tiap-tiap minggu. Ingat tak koi belikan kita jambu batu lepas tu kita tanya mana dapat duit nak belanja, koi kata “ini rezeki daripada Allah. Koi kongsi-kongsi untuk kita je. Kita kan Melayu.”
“Koi masih ingat lagi dekat Allah so tak apalah! Janji Melayu! Janji Melayu yang berkuasa!” Bentak beliau dengan nada keras.
Teman menggelengkan kepala sebab teman tak percaya yang beliau lupa atau buat-buat lupa bahawasanya sebelum koi belanja jambu batu, koi dah makan nasi ayam goreng yang harganya selipat ganda dengan jambu batu yang dibelanjakan.
“Jadi kalau koi tu kebas duit kita pun tak kisah? Pakai duit kita baiki basikal lajak, makan sedap-sedap pun tak apa? Asalkan Melayu? Asalkan belanja jambu batu?” jerkah hang dengan nafas yang tak putus.
“Betul! Janji Melayu yang berkuasa. Sepet tak akan belanja kita makan jambu batu kalau menang. Kau kena menang sebab yang wajib jadi ketua adalah Melayu Islam! Kalau tak, kelas ni akan ditimpa bala bak kata ustaz!”
“Jadi kau kena minta koi mengundi?”
Beliau mengangguk seolah mengiyakan bahawa pastinya kiamat akan berlaku jika pemilihan esok akan berpihak kepada sepet.
“Atau kita patut ugut si awak tu? Suruh awak undi kau kalau tak kita halau awak keluar dari kelas ni!” Cadang kawan beliau lagi sambil mengangkat dahinya yang jendul itu.
“Jangan jadi bodoh boleh? Result PT3 awak tu bagus! Awak memang layak duduk dalam kelas ni. Tak macam orang tu; tak ada A pun boleh masuk kelas sains,” sindir hang selamba.
Perempuan, Cina jangan dibagi muka
Kalau bukan bapanya pengetua sekolah, memang kawan beliau akan tercurut seperti cencorot di dalam kelas yang paling tercorot di sekolah itu. Juga kalau bukan bapanya pengetua sekolah, sudah lama tudung hang itu ditariknya.
Perempuan memang tak patut dibagi muka, getus hatinya. Sama macam Cina, bagi muka terus pijak kepala.
Tuan-tuan dan puan-puan, menurut pengalaman penulis, barangsiapa yang menghidap penyakit misogini dan patriarki, dia juga tidak terlepas daripada penyakit bangga diri yang berlebihan dengan menganggap kaumnya, keturunannya,agamanya mahupun amal ibadatnya lebih tinggi nan mulia daripada orang lain.
“Kita pujuk si koi undi kau dan sebagai balasannya, koi akan jadi pengawas. Bapak aku boleh lantik koi jadi pengawas,” ujar kawan beliau kesipuan malunya selepas disindir hang.
“Takpun kita suruh apek tak payah bertanding. Bagi apek jawatan pengawas dan kau boleh menang tanpa bertanding!”
“Pilihan kat tangan kau sekarang. Kau pilih.”
“Kau nak bagi penyangak tu jadi pengawas? Habis dirembat duit-duit pengawas tu semua nanti. Dan bagi jawatan dekat apek sebab apek tarik diri daripada bertanding? Itu rasuah namanya!”
“Kalau macamtu kau offer apek jadi penolong bendahari. Atau AJK keceriaan.”
“Tak boleh!”
Semua diam. Pertama kali lihat kau merah padam mukanya menghentak buku limanya di atas meja.
“Ah sudahlah! Kalau kau tak nak, sudah. Aku boleh suruh koi calonkan diri sebagai ketua kelas dan suruh sepet tarik diri. Kalau sepet tak nak dan menang jadi ketua kelas, aku akan suruh ayah aku cakap dekat cikgu Suraya suruh lantik koi jadi ketua juga.
“Sepet tak akan melawan apa yang cikgu Suraya cakap. Kalau sepet melawan, cikgu Suraya akan hukum dan bawa pergi jumpa ayah aku. Apa susah! Kau dah boleh pegi mampus!” bentak kawan beliau dengan nada meninggi, menarik kopiah putih yang terletak di kepalanya lalu meninggalkan kelas.
Fikh tabayyun
Beliau pula terburu-buru membuntuti kawan beliau lantas meninggalkan sahabat-sahabat mereka yang masih di situ. Lupalah mereka akan perjanjian di awal tahun bahawa mereka tidak suka koi mencuri duit kelas dan berjanji akan tolong kau untuk menjadi ketua kelas tahun ini.
Kini, mereka sudah lupa perjanjian itu dan akan berfiqh tabayyun dengan koi agar koi menjadi ketua kelas. Beliau dan kawan beliau terus meninggalkan group whatsapp kita dan block kita di instagram, facebook dan twitter. Video tiktok mereka bersama semuanya juga telah dipadam.
“Macamana sekarang ni? Nampak gaya kau akan kalah,” ujar teman lemah; kembali menjadi dan merasa rendah di sebelah hang.
Kau diam dan melihat dalam-dalam mata kawannya itu. Belum sempat kau berkata apa-apa, hang sudah membuka mulutnya:
“Kalau kau kalah, kau akan kalah secara terhormat. Apa yang beliau dan kawan beliau nak buat, kau tak patut rasa bersalah sebab kau tak terlibat. Yang penting, kau masih ada conscience. Kau boleh hilang semuanya tapi kau tak boleh hilang diri kau sendiri.”
“Walau apa pun terjadi esok, kita tetap kena belajar satu kelas dengan semua orang dalam kelas ini. Kita tetap tiap-tiap bulan kena bayar duit kelas dan akan ada jadual kelas untuk kita buat itu ini.”
“Kalau sepet menang, tak apalah. Kau bertanding lagi tahun depan. Kalau sepet menang pun, bukannya sepet boleh paksa kita makan babi ke apa. Yang kita nak takut sangat kenapa?”
“Kalau sepet paksa?” Tanya teman, meragukan.
“Laporkan dekat pengetua. Viralkan dekat media sosial biar satu Malaysia tahu,” jawab hang mantap.
“Kita kena ingat depan Tuhan nanti Melayu tu tak ada nilai langsung – kalau kerjanya mencuri duit orang lain atau main tipu untuk menang, ke nerakalah jawabnya.”
Dan apapun terjadi esok, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Dan kau juga tahu walau apa pun terjadi, kau akan tetap menjadi pelajar dalam kelas itu dan akan tetap bayar duit kelas dan akan tetap ikut jadual bersihkan kelas.
Kau juga tahu kalau kau kalah esok, baik di tangan sepet mahupun koi, kau tidak hilang conscience; kau masih boleh tidur malam dengan lelap selepas menonton House of Cards di Netflix dan masih boleh melihat dirinya di cermin selepas bangun di pagi hari.
Dan sesungguhnya kau yang masih belum kita dapat sebagai pemimpin hari ini. Atau mungkin, hang yang masih belum kita mahukan sebagai pemimpin hari ini.
ZHARIF BADRUL adalah seorang peguam dan penulis yang gemar berciap di akaun twitternya @zharifbadrul6.
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan