Zahid Hamidi sedia sumpah laknat nafi bawa ‘Fail Bertimbun’ jumpa Muhyiddin
Zahid Hamidi sedia sumpah laknat nafi bawa ‘Fail Bertimbun’ jumpa Muhyiddin
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesanggupannya untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa dia pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah.
Zahid mempersoalkan dakwaan itu yang menurutnya hanya timbul menjelang musim pilihan raya, merujuk PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan.
“Saya tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin ketika beliau menjadi perdana menteri untuk meminta tolong dilepaskan dari tuduhan mahkamah.
“Apatah lagi dengan membawa timbunan fail seperti yang didakwa dan minta untuk dilepaskan.
“Bagi membuktikan kebenaran ini, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atas saya,” katanya dalam hantaran Facebook dua hari lalu.
Zahid turut mencabar Muhyiddin untuk bersumpah laknat untuk mempertahankan dakwaan yang dibuatnya.
EPISOD BAHARU : MUSIM PILIHANRAYA
Menjelang sahaja musim PRK atau PRN, akan keluarlah cerita, pemimpin UMNO bawa fail….
Posted by Zahid Hamidi on Saturday, February 19, 2022
Dalam ceramah di Tangkak, Johor pada 17 Febuari lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendakwa Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai perdana menteri dengan membawa ‘Fail Bertimbun’.
“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan),” kata Muhyiddin menceritakan tentang pertemuannya dengan Zahid.
Kata Muhyiddin lagi, dalam pertemuan itu dia berkata kepada Zahid bahawa jika ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak bersalah, dia perlu melalui proses perbicaraan di mahkamah.
Dalam hantaran Facebooknya lagi, Zahid berkata kemungkinan ada lagi dakwaan seumpama itu dibangkitkan menjelang PRN Johor sebagai strategi menyerang Umno di peringkat nasional.
“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka.
“[…] Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon Umno di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional,” kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi.
Untuk rekod, Ahmad Zahid diarahkan mahkamah untuk membela diri dalam 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.
Ia melibatkan 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya. [MK]
Baca:
Zahid Hamidi terguris Muhyiddin persenda nama allahyarham bapanya
Zahid bawa fail kes mahkamah dia, dan dia kata Tan Sri tolonglah…
Najib: Muhyiddin langgar SOP masa darurat, tapi PN tak suruh letak jawatan
Kalau dedah 1MDB dianggap pengkhianat, Ini pula senarai pengkhianatan UMNO, BN
Najib Razak (Bossku) – Muhyiddin Yassin (Abah) berbalah
Kalau Najib tak faham bahasa saya, saya nak buat macam mana?
Muhyiddin malu dikait dengan parti yang angkat pesalah jenayah berat sebagai Boss