20 TAHUN PKR, REFORMASI TIDAK MATI
20 TAHUN PKR, REFORMASI TIDAK MATI
Dua hari lalu PKR menyambut ulang tahun ke-20 penubuhannya sejak parti itu diwujudkan pada tahun 1999 yang lalu.
Ulang tahun ke-20 ini selalu disebut ulang tahun ke-20 perjuangan reformasi.
Sesuai dengan kempen PRK Rantau yang sedang berlangsung, sambutan itu telah diadakan di Dataran Rantau dengan dihadiri pemimpin-pemimpin utama PKR serta ribuan penyokongnya.
Kepada yang terlibat dan menyaksikan perjuangan PKR sejak 20 tahun lalu, detik ini tentunya suatu kebanggaan kerana peluh, airmata dan darah yang tumpah selama ini telah menghasilkan kejayaan yang membanggakan.
Daripada sebuah parti pembangkang yang ramai orang melihatnya tidak ada harapan kerana kononnya hanya memperjuangkan nasib seorang individu berlindungkan reformasi, perjuangan 20 tahun itu akhirnya menukar PKR menjadi tunjang kepada kerajaan yang mengusai Putrajaya.
Namun demikian, ada pihak yang sinis dengan ulang tahun ke-20 PKR ini.
Mereka memperlekeh dengan mengatakan PKR dulunya ditubuhkan untuk menentang Tun Mahathir Mohamad, tetapi setelah 20 tahun berlalu, parti itu sudahnya berada di bawah kekuasaannya semula yang kini menduduki kerusi Perdana Menteri buat kali kedua.
Dengan yang demikian, kata mereka lagi, ulang tahun ke-20 PKR ini lebih sesuai disebut sebagai tarikh matinya perjuangan reformasi.
Benarkah begitu?
Memang benar PKR ditubuhkan untuk menentang dan menjatuhkan Tun Mahathir ketika beliau berkuasa bersama UMNO dan BN dahulu.
Tetapi, kerana kukuhnya nama PKR dan kentalnya perjuangan reformasi yang dibawanya itulah yang akhirnya menyebabkan Tun Mahathir “mencari” Anwar Ibrahim di mahkamah pada 2016 lalu untuk berbaik dan berdamai dengannya.
Tun Mahathir kemudian bukan saja bersetuju dengan agenda reformasi, malah beliau dan semua calon PH telah menggunakan simbol PKR dalam PRU14 sehingga berjaya menamatkan era pemerintahan BN yang berkuasa sejak 61 tahun lalu.
Tidakkah ini semua sesuatu yang cukup membanggakan buat PKR dan perjuangan reformasi sejak kewujudannya pada 1999 itu?
Meskipun Tun Mahathir kini adalah Perdana Menteri, namun dengan persetujuan peralihan kuasa yang telah dimuktamadkan kepada Anwar selepas ini, PKR dan reformasi bukan saja tidak mati dan tidak juga berada di bawah kekuasaan Pengerusi PH itu, malah akan terus subur dalam membina negara ini.
Bersama jumlah 50 kerusi Parlimen yang dimilikinya serta deretan pemimpin muda dan berwibawa yang dimilikinya, PKR dipercayai akan terus hidup subur di negara ini, sesuai dengan komposisi rakyat berbilang kaum yang ada.
Lebih darioada itu, dengan kedudukan yang kukuh menguasai kerajaan sekarang, perjuangan reformasi yang diperjuangkan selama ini juga pastinya akan satu demi satu menjadi kenyataan selepas ini.
Selepas tragedi 1998 dan kemudian PKR ditubuhkan pada 1999, reformasi bukan saja suatu ungkapan biasa bagi rakyat jelata, malah suatu keperluan ke arah membina negara yang lebih baik untuk semua.
Author Profile
Latest entries
- PolitikMarch 18, 2020Perutusan Khas Muhyiddin: Rakyat Malaysia Tiada Dibagi Solusi!
- OpinionMarch 17, 2020Jangan Cakap Banyak Sangat Tun M, Nanti Terjangkit Covid-19 Baru Tau!
- Top NewsMarch 17, 2020Anwar Ibrahim Sampaikan Duka Wafatnya Dua Korban Terjangkit Covid-19
- Kabar LainFebruary 26, 2020Jangan Fikir Pelik Sangat Tun, Kerajaan Perpaduan itu Luar Biasa di Negara Demokratik?