Projek NMB Fasa Dua, Hess Malaysia Keluarkan Gas Pertamanya | Malaysia News

Projek NMB Fasa Dua, Hess Malaysia Keluarkan Gas Pertamanya

Kuala Lumpur, MTN – Hess Malaysia mengeluarkan gas pertamanya daripada telaga Zetung bagi fasa kedua Projek Pembangunan Gas Bersepadu North Malay Basin (NMB).

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata Projek Pembangunan Gas Bersepadu NMB merupakan pembangunan berfasa dengan fasa pertama terdiri daripada sistem pengeluaran awal dan projek pembangunan medan penuh yang memperoleh gas pertama, masing-masing pada 2013 dan 2017.

Fasa kedua membabitkan pembangunan medan Zetung dan Anggerik yang terletak di selatan Platform Pemprosesan Pusat (CPP) Bergading, kira-kira 300 kilometer daripada luar pesisir Semenanjung Malaysia.

“Kami berbangga dapat menghasilkan gas pertama bagi fasa kedua NMB dengan selamat dan mengikut jadual.

“NMB adalah sumber penting bagi Malaysia dan akan membantu memenuhi permintaan gas asli yang meningkat di seluruh negara,” kata Naib Presiden Hess Asia, Zhiyong Zhao.

Beliau berkata pengeluaran gas pertama dari telaga Anggerik yang dijangka April ini merupakan pencapaian selanjutnya bagi NMB.

Awal tahun ini, Hess memberhentikan fasa ketiga pembangunan NMB dengan pengeluaran gas pertama dijadual pada suku keempat 2021.

NMB merupakan aset gas asli tahan lama yang terdiri daripada sembilan medan gas asli semulajadi yang ditemui dengan anggaran sumber boleh usaha kasar melebihi 1.5 trilion kaki padu gas asli dan lebih 29 juta tong hasil pemeluwapan.

Hess Malaysia selaku anak syarikat Hess Corporation adalah operator yang memegang 50 peratus kepentingan dalam projek NMB bersama-sama Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), yang turut mempunyai 50 peratus kepentingan.

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •