Tun M: ‘ Saya Dikhianati Muhyidin Yassin
Tun M: ‘ Saya Dikhianati Muhyidin Yassin
Kuala Lumpur, MTN – “Saya telah dikhianati oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.”
Itu luahan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media di Yayasan Al-Bukhary hari ini.
Justeru, katanya, Pakatan Harapan (PH) akan membentangkan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat kelak memandangkan PH mempunyai majoriti berbanding Perikatan Nasional.
“Bagaimanapun saya takut sidang Parlimen Dewan Rakyat akan lambat bagi membeli masa,” katanya sambil menambah Yang Dipertuan Agong tidan lagi membenarkan pihaknya mengadap hari ini kerana ada proses pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri baharu.
Mahathir juga memberi bayangan seandainya lama lagi Dewan Rakyat mengambil masa untuk bersidang maka mungkin angka 114 (sokongan ahli parlimen kepada PH mencadangkan dirinya menjadi perdana menteri) akan berubah.
Pagi ini, Muhyiddin dan gabungan baharu politik negara akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kelapan di Istana Negara.
Mahathir hari ini mendedahkan bagaimana sejak beberapa minggu beliau terpaksa menghadapi tekanan politik sehingga berlakunya krisis dan ketidakstabilan politik di negara ini.
Beliau mendakwa tidak dapat senada dengan Muhyiddin yang bersedia untuk menerima sesiapa sahaja dari UMNO termasuk yang kini menghadapi perbicaraan di mahkamah.
Antara yang di maksudkannya ialah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan termasuk SRC International melibatkan penyelewengan dana RM42 juta serta 1MDB RM2.3 bilion.
Bagaimanapun dakwa Mahathir, Muhyiddin sudah merancang dan mempunyai hasrat untuk menjadi Perdana Menteri kelapan dan kerana itulah sanggup menerima semuanya termasuk pemimpin ditolak rakyat pada PRU-14.
“Saya fikir Muhyiddin hendak jadi PM. Dia pujuk saya untuk tinggalkan DAP. Orang Melayu pula percaya cakap Najib kononnya saya bawah telunjuk kuasa DAP.
“Najib sangat cekap, orang sekarang sanggup cium tangan Najib dan akui dia sebagai ‘bosku’. Muhyiddin kemudian pujuk saya supaya Bersatu keluar sahaja Pakatan Harapan.
“Tetapi saya enggan, mengapa perlu saya lakukan demikian? Sedangkan saya dapat sokongan semua termasuk PH dan juga Pas.
“Mengapa perlu saya tolak PH dan terima Najib? Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu masuk sebagai ‘enbloc’ tapi mengapa pula saya beri peluang Itu walhal ada sahaja ahli UMNO yang tidak bersalah dan ada yang sedang hadapi kes di Mahkamah.
“Saya minta masa. Walaupun ada tidak percaya kepada DAP saya cakap perlu masa untuk kuatkan Bersatu. Saya merayu tapi Bersatu keluar juga. Hilanglah majoriti dan tidak boleh jadi kerajaan semula. Saya cuba berbincang dengan Muhyiddin tapi beliau tetap mahu bekerjasama dengan UMNO.
“Muhyiddin kata dengan saya, politik lebih penting dari prinsip. Katanya boleh sahaja bekerjsama dengan semua termasuk yang ada menghadapi tuduhan rasuah,” katanya.
Kata Mahathir, kerajaan baharu yang juga disertai oleh Najib dengan Muhyiddin diangkat menjadi perdana menteri, keadaan ‘ganjil’ akan mungkin berlaku.
“Mahkamah selepas ini akan merasa ‘pelik’ untuk ambil keputusan. Dulu Najib manipulasi keputusan mahkamah, dengan kerajaan baharu ini ianya akan berlaku sekali lagi.
“Bila Muhyiddin tanya saya seandainya saya hendak menyokong, saya kata tidak boleh menyokong bagaimanapun beliau telah memberitahu semua (yang) saya bersama ahli parlimen Bersatu lain menyokongnya.
“Ada enam wakil rakyat Bersatu termasuk saya tidak menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana beliau bekerjasama dengan semua termasuk yang ada kes.
“Muhyiddin menunjukan angka yang salah dan kononnya sudah ada sokongan majoriti. Itu tidak benar kerana saya bersama yang lain tidak menyokongnya.
“Tetapi beliau akan angkat sumpah sebagai PM ke-8 pukul 10.30 pagi ini. Yang di Pertuan Agong pula enggan lagi mahu menerima saya menghadapnya untuk memberikan penjelasan. Baginda sudah bertitah Muhyiddin sebagai PM.
“Ini pelik dan ganjil sekali kerana sokongan majoriti masih lagi dengan PH tetapi yang angkat sumpah pula seseorang yang tidak mempunyai sokongan majoriti,” ujarnya.[MG]
Author Profile
Latest entries
- NationalAugust 25, 2021Fokus PRU15, Bukan Kerusi Pengerusi PH Atau Ketua Pembangkang
- NationalAugust 25, 2021Hadi Awang: Taliban dah Berubah, Jangan Percaya pada Media Jahat
- NationalAugust 25, 2021Menjelang Pengumuman Kabinet, Ulama Pas: Jangan Sesiapa Jadi ‘Abang Long’
- PolitikAugust 25, 2021Puad: Lantik Azmin Ali Sebagai TPM Umpama Bunuh Diri