AS Rancang Kerjasama Dengan Malaysia Tingkatkan Daya Tahan Bekalan | Malaysia News
December 9, 2021
Gina M. Raimondo

AS Rancang Kerjasama Dengan Malaysia Tingkatkan Daya Tahan Bekalan

Kuala Lumpur, MTN – Amerika Syarikat (AS) berminat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi termasuk Malaysia dan menubuhkan kemudahan semikonduktor bersama untuk meningkatkan bekalan domestiknya, kata Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo.

Beliau berkata perbincangan peringkat tinggi telah dibuat dengan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada mesyuarat meja bulat semikonduktor yang diadakan awal, Khamis (18/11/2021).

“Kami berbincang mengenai penyelarasan latihan kerja, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelaburan supaya kami boleh bekerjasama dan tidak mempunyai pertindihan dalam pelaburan kami (AS).

“Ia adalah perbincangan menyentuh banyak perkara bagi memikirkan bagaimana perniagaan AS dan kerajaan Malaysia serta perniagaan Malaysia boleh meningkatkan kerjasama ketelusan aliran data komunikasi supaya kami boleh meningkatkan bekalan dan mempunyai rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan,” katanya.

Raimondo berkata demikian kepada wartawan tempatan dan antarabangsa semasa telesidang yang diadakan hari ini untuk mengakhiri lawatan rasmi pertamanya ke Asia dari 15 hingga 18 November dengan melakukan lawatan ke Jepun, Singapura dan Malaysia.

Azmin dan Raimondo mempengerusikan bersama mesyuarat meja bulat semikonduktor hari ini sempena lawatan beliau ke Malaysia yang turut dihadiri wakil daripada lebih 15 syarikat merangkumi pengeluar dan pembeli cip dalam rantaian bekalan semikonduktor yang beroperasi di Malaysia.

Raimondo menegaskan bahawa semikonduktor adalah elemen kritikal yang menggerakkan seluruh ekonomi dan permintaan untuk bahan tersebut meningkat pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, oleh itu bekalan perlu dipertingkatkan.

Advertisement

“Sehubungan itu, AS benar-benar berminat untuk meningkatkan bekalan domestik semikonduktor,” katanya.

Berdasarkan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia, sektor semikonduktor global diunjurkan berkembang pada kadar 20 peratus atau US$527 bilion pada 2021 dan akan meningkat sebanyak 10 peratus lagi pada 2022 (US$573 bilion).

Menurut statistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, eksport semikonduktor yang terdiri daripada peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik, mewakili hampir 62 peratus daripada jumlah eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia.

Malaysia menyumbang sebanyak 6.2 peratus bahagian daripada jumlah eksport semikonduktor dunia dan disenaraikan sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.

Pada 2020, jumlah perdagangan produk E&E dengan AS berjumlah US$19.85 bilion, menyumbang 46.6 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport E&E ke AS bernilai US$12.61 bilion dan meningkat 2.3 peratus berbanding 2019 manakala import E&E dari AS mencatat peningkatan 10.4 peratus kepada US$7.25 bilion daripada 2019.

Pada 2020, AS adalah destinasi eksport keempat terbesar Malaysia untuk produk E&E dengan nilai eksport sebanyak US$12.61 bilion, mewakili 13.7 peratus bahagian daripada jumlah eksport E&E.

Eksport semikonduktor yang merangkumi peranti semikonduktor seperti litar bersepadu (IC), transistor, injap, ialah kumpulan produk eksport terbesar dalam sektor E&E ke AS bernilai US$4.5 bilion, mewakili 35.7 peratus bahagian daripada jumlah eksport E&E ke AS.

 

[BERNAMA]

Advertisement
Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •