BWF Gantung Eksekutif Malaysia Kerana Atur Perlawanan | Malaysia News

BWF Gantung Eksekutif Malaysia Kerana Atur Perlawanan

BWF Gantung Eksekutif Malaysia Kerana Atur Perlawanan

MTN – Seorang eksekutif syarikat peralatan sukan warga Malaysia dikenakan hukuman penggantungan seumur hidup oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas kesalahan mengatur perlawanan.

BWF dalam kenyataan hari ini memaklumkan unit integriti badan itu menyiasat wakil eksekutif peralatan sukan yang menaja pemain antarabangsa terbabit sejak kejohanan Terbuka Jepun 2014.

“Kami mendapati individu tersebut mendekati beberapa pemain antarabangsa dan menawarkan wang untuk memanipulasi perlawanan termasuk melibatkan pemain yang ditaja oleh majikan individu berkenaan, selain bertaruh dalam beberapa perlawanan.

“Dia menyalahgunakan kedudukan dan pengaruhnya sebagai eksekutif dalam jenama sukan untuk merosakkan badminton antarabangsa dan memperkayakan dirinya sendiri,” menurut kenyataan itu.

Menurut BWF, eksekutif berkenaan boleh mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam tempoh 21 hari dari tarikh hukuman.

Selain, itu, BWF memaklumkan tiga pemain Indonesia turut dihukum gantung seumur hidup daripada terbabit dalam sukan itu kerana mengatur perlawanan manakala lima lagi pemain negara sama dikenakan hukuman gantung antara enam dan 12 tahun serta masing-masing didenda AS$30,000 (RM120,954) dan AS$12,000 (RM48,381).

BWF berkata semua pemain itu melakukan kesalahan berkaitan mengatur perlawanan, manipulasi perlawanan dan melakukan pertaruhan ketika bersaing dalam kejohanan peringkat rendah di Asia sehingga 2019.

Sepanjang tempoh itu, mereka juga dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton termasuk di bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.

Dalam reaksi spontannya, Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemain kebangsaan yang didapati terbabit dalam aktiviti perjudian atau mengatur perlawanan.

Menurutnya, BAM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib termasuk menyingkirkan mereka daripada skuad kebangsaan.

“Setahu saya tiada pemain kebangsaan terbabit dan kami menasihatkan mana-mana pemain yang mendapat panggilan mencurigakan (daripada pihak yang cuba mengatur perlawanan atau sebagainya) untuk terus melaporkan kepada pihak pengurusan sebelum membuat laporan kepada polis dan BWF, ” katanya.

 

[MK]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply