Dr Mahathir Mendakwa Orang Melayu Tidak Sokong Anwar Ibrahim | Malaysia News

Dr Mahathir Mendakwa Orang Melayu Tidak Sokong Anwar Ibrahim

Dr Mahathir Mendakwa Orang Melayu Tidak Sokong Anwar Ibrahim

Putrajaya, MTN – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang Melayu tidak menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana falsafah politiknya yang liberal.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya jadi Perdana Menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

“Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, Pas masuk. Falsafah dia liberal,” katanya.

Ditanya mengenai persepsinya terhadap Anwar, Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi mengakui bahawa beliau mempunyai masalah dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Saya menghadapi masalah dengan Anwar. Saya mengaku. Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Anwar tersingkir dan dia kena hukuman penjara.

“Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib, saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih bahaya.

“Jadi saya sanggup rujuk kembali dengan Anwar, bahkan saya turut bekerjasama dengan DAP. Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan Barisan Nasional (pada Pilihan Raya Umum ke-14),” katanya.

Peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari lalu mencetuskan krisis politik dengan penyelesaiannya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri. [mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply