FGV Membina Loji Tenaga Biogas Terbesar di Pahang
FGV Membina Loji Tenaga Biogas Terbesar di Pahang
Kuala Lumpur, MTN – FGV Holdings Bhd (FGV) membina loji tenaga biogas di kilang minyak kelapa sawit Triang di Bera, Pahang, baru-baru ini, loji tenaga biogas tenaga boleh baharu terbesar syarikat itu setakat ini.
Dalam kenyataan hari ini, katanya loji itu mempunyai kapasiti sebanyak 2.4 megawatt (MW).
“Loji tenaga biogas Triang FGV telah beroperasi sepenuhnya selepas menerima Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Tarif Galakan (FiTCD) daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada 20 Okt, 2020,” katanya.
Melalui SEDA, FGV mendapat kuota untuk kapasiti eksport 2.0 MW ke grid nasional Tenaga Nasional Berhad untuk pengagihan ke 15,000 rumah di Felda Triang, Felda Sebertak, Felda Purun, Felda Bukit Kepayang dan Felda Tementi yang terletak dalam lingkungan 30 kilometer dari loji tenaga biogas itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata loji tenaga biogas Triang FGV bertindak sebagai alternatif kepada penyedia tenaga hijau untuk TNB, yang mengurangkan risiko gangguan untuk memastikan aliran elektrik yang lebih baik dan stabil.
“Sejajar dengan agenda tenaga boleh baharu kerajaan, loji tenaga itu menawarkan satu bentuk tenaga boleh baharu yang cekap melalui biogas dari Efluen Kilang Minyak Kelapa Sawit (POME) yang mengurangkan keperluan untuk membakar lebih banyak arang batu atau gas asli yang berpotensi membahayakan alam sekitar,” katanya.
Loji tenaga itu turut menghasilkan biogas yang mencukupi untuk menjana tenaga yang dihantar ke pencawang elektrik TNB yang disambungkan ke grid nasional.
Pada penghantaran waktu puncak, FGV berkata loji tenaga biogas dapat menghasilkan sehingga 10 juta kilowatt-jam (kWh) setahun, yang membawa kepada pendapatan sebanyak RM5 juta setahun untuk Kilang Minyak Kelapa Sawit (POM).
Selain daripada loji tenaga biogas Triang, FGV kini memiliki empat loji biogas FiT sedia ada yang lain untuk mengeksport elektrik ke grid nasional yang terletak di Mersing dengan kapasiti 1.6 MW, serta di Maokil, Segamat dan Tenggaroh, masing-masing dengan kapasiti 1.2 MW.
[bernama]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor