Hengyuan Catat Keuntungan Bersih RM154,91 Juta Suku Ketiga Berakhir | Malaysia News

Hengyuan Catat Keuntungan Bersih RM154,91 Juta Suku Ketiga Berakhir

Hengyuan Catat Keuntungan Bersih RM154,91 Juta Suku Ketiga Berakhir

Kuala Lumpur, MTN – Hengyuan Refining Company Bhd (Hengyuan) kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM154.91 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020, berbanding kerugian bersih RM11.43 juta pada tahun sebelum ini.

Bagaimanapun hasilnya susut kepada RM1.59 bilion pada suku di bawah kajian berbanding RM3.23 bilion sebelum ini berikutan penyusutan sehingga 35 peratus harga produk-produk minyak di pasaran, demikian menurut kenyataan syarikat operator penapisan minyak dan gas itu kepada Bursa Malaysia.

Jumlah jualan bagi suku berkenaan juga rendah iaitu 7.7 juta tong berbanding 10.7 juta tong yang direkodkan sebelum ini.

“Ini menyebabkan pengurangan permintaan tempatan terhadap produk-produk minyak susulan pelaksanaan langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020,” kata syarikat itu.

Merujuk prospek, Hengyuan berkata pasaran minyak global banyak bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia yang kini menyaksikan sekatan pergerakan telah dilaksanakan semula di kebanyakan negara.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum juga telah menjangkakan bahawa permintaan minyak dunia akan merosot sebanyak 9.46 juta tong sehari bagi tahun kewangan 2020.

“Syarikat ini akan terus memberi tumpuan terhadap aspek termasuk kecekapan operasi, keselamatan, kualiti produk dan pengurusan risiko kewangan bagi mengoptimumkan prestasinya walaupun cabaran membabitkan industri minyak masih belum dapat dikurangkan,” katanya.

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply