Kerajaan Pulau Pinang Terima 97 Peratus Sokongan Terhadap Projek LRT | Malaysia News

Kerajaan Pulau Pinang Terima 97 Peratus Sokongan Terhadap Projek LRT

Kerajaan Pulau Pinang Terima 97 Peratus Sokongan Terhadap Projek LRT

Kuala Lumpur – Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengumumkan bahawa sesi paparan awam selama tiga bulan tentang projek Light Rail Transit (LRT) telah menerima sejumlah 23.218 maklum balas daripada orang ramai.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata paparan awam itu telah tamat pada 19 November dan majoriti mengisi borang cadangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah memberikan maklum balas yang positif dengan projek LRT yang dirancangkan dari Komtar ke Bayan Lepas.

“Daripada keseluruhan 23,218 maklum balas yang diterima, sebanyak 22,678 borang atau 97.67 peratus menyokong projek ini sementara baki 540 borang atau 2.33 peratus menentang pelaksanaan projek,” katanya kepada wartawan pada hari Rabu (27/11).

Kerajaan Negeri dilaporkan telah memulakan proses paparan untuk projek LRT bermula dari 19 Ogos sehinggalah 19 November. Pemeriksaan awam boleh dilakukan di pejabat APAD yang terletak di aras tiga Komtar, di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda dan juga di pejabat APD di Kuala Lumpur.

Selain itu, pusat paparan awam juga akan beroperasi untuk merangkumkan lagi enam lokasi lain mengikut waktu yang berbeza seperti Tesco E-Gate, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Sunshine Square, terminal Bas Sungai Nibong, Penang Sentral di Butterworth dan di Penang Skills Development Centre di Bayan Lepas.

Chow, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota berkata bahawa ini adalah ukuran terhadap sokongan orang ramai ke atas cadangan ini dan tugas berikutnya adalah untuk memberikan penjelasan ke atas semua permasalahan yang diutarakan oleh orang ramai tentang projek tersebut.

Menurutnya, masalah yang diutarakan termasuklah stesen berjauhan, lokasi jajaran dekat dan pembinaan projek akan menimbulkan masalah lalu lintas.

“Pihak kerajaan negeri melalui Konsortium SRS sebagai rakan pelaksana projek akan memberikan perincian dan penjelasan tentang semua permasalahan yang timbul dari sesi paparan awam,” katanya.

Jangkauan projek LRT ini adalah sepanjang 29.9 kilometer dengan 27 stesen, bermula dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan kemudian ke tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang dengan anggaran kos bernilai RM8 bilion.

Proyek ini dimulakan oleh kerajaan negeri di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulai Pinang (PTMP) bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di negeri itu yang melibatkan kos anggaran RM46 bilion.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply