KKM: 5,123 Peserta Tabligh Seri Petaling Belum Jalani Saringan Covid-19 | Malaysia News

KKM: 5,123 Peserta Tabligh Seri Petaling Belum Jalani Saringan Covid-19

KKM: 5,123 Peserta Tabligh Seri Petaling Belum Jalani Saringan Covid-19

Putrajaya, MTN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan lebih 5,000 peserta tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling masih belum tampil membuat saringan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terkini yang telah disaring adalah 17,965 peserta.

“Status terkini untuk kluster Seri Petaling, jumlah yang disaring adalah 17,965 dan sampel yang telah diambil adalah 12,842 dan positif adalah 1,254 dan negatif adalah 7,084 dan masih menunggu keputusan adalah 4,504 orang.

“Ini bermakna kita ada 5,123 masih perlu menjalani ujian pensampelan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Daripada 150 pesakit yang positif Covid-19 hari, 63 daripadanya adalah daripada kluster Seri Petaling.

Ini kerana menurut Noor Hisham, kluster Seri Petaling kini memasuki generasi kelima.

“61 kes melibatkan kluster Seri Petaling tapi semua jemaah itu kini telah memasuki generasi kelima, bukan lagi generasi pertama hingga keempat.

“Dalam tempoh satu bulan, kita lihat perkembangan kepada generasi kelima,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kluster Covid-19 di Simpang Renggam, Johor telah menunjukkan peningkatan kes hari ini.

Noor Hisham berkata, sebanyak 97 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan itu.

“Setakat hari ini kita ada kes positif sebanyak 97 dan di Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid sahaja 81 kes. Ini melibatkan empat kluster Seri Petaling. 77 orang yang lain termasuk generasi kedua dan ketiga. Mereka bukan kluster Seri Petaling tapi dijangkiti di masjid dan sebagainya.

“Kes luar daripada Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid adalah 16 kes, 1 kes kluster Seri Petaling dan 15 kes adalah yang lain,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kluster Simpang Renggam belum lagi mencatatkan sebarang kematian sehingga hari ini.[mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply