Maria Chin Gesa Penduduk Petaling Jaya Patuhi Perintah Duduk Di Rumah | Malaysia News
April 8, 2020

Maria Chin Gesa Penduduk Petaling Jaya Patuhi Perintah Duduk di Rumah

Kuala Lumpur, MTN – Anggota Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menggesa penduduk di kawasan itu mematuhi perintah kawalan pergerakan dan berada di rumah dalam tempoh 10 hari berbaki sehingga perintah itu dijangka berakhir pada 31 Mac.

“Saya masih berasakan orang masih keluar di jalan-jalan. Walaupun beberapa pasar basah dibuka, saya benar-benar harap orang ramai memasak makanan di rumah atau buat pesanan (secara dalam talian).

“Hanya 10 hari lagi. Demi orang yang kita sayangi, jiran kita dan orang-orang di luar sana yang dijangkiti, sila duduk di rumah,”kata Maria dalam satu siri mesej WhatsApp kepada media hari ini.

Beliau berkata, sekarang adalah masa yang sesuai bagi orang ramai menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga dan berhubung dengan rakan-rakan secara atas talian

“Marilah kita positif, kekal selamat dan kekal berada di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berita bahawa Petaling Jaya dan Lembah Pantai mencatatkan bilangan tertinggi kes Covid-19 di negara ini berdasarkan data terkini.

Maklumat itu dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook beliau pagi ini.

Ia menunjukkan bahawa kedua-dua kawasan itu menyumbang masing-masing 96 dan 90 kes setakat tengah hari semalam.

Jumlah kes positif Covid-19 yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan setakat ini adalah sebanyak 1,183 kes dan angka korban mencecah lapan orang.

Kerajaan baru Perikatan Nasional (PN) mengumumkan perintah kawalan pergerakan berkuatkuasa 18 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga 31 Mac.

Angkatan Tentera Malaysia dikerah bermula hari ini untuk membantu polis dalam memantau penguatkuasaan berkenaan.[mk]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •