Menang Di Ipoh, Perak Naik Tangga Kedua Liga Super | Malaysia News

Menang di Ipoh, Perak Naik Tangga Kedua Liga Super

Menang di Ipoh, Perak Naik Tangga Kedua Liga Super

Kuala Lumpur, MTN – Perak memintas kedudukan Melaka di tangga kedua carta Liga Super selepas mengatasi Petaling Jaya City FC 2-0 pada aksi ketiga liga di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Kemenangan kedua diraih skuad Seladang kendalian Mehmet Durakovic menyaksikan mereka mengutip tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Beraksi di hadapan 5,000 penyokong, Perak berjaya mendahului lawan pada minit ke-24 hasil tandukan ketua pasukan, Shahrul Saad, hasil hantaran sudut daripada rakan sepasukan, Muhammad Firdaus Saiyadi.

Pemain import dari Kemboja, Chanthacheary Bin mengesahkan kemenangan untuk pasukan tuan rumah menerusi sepakan percuma menarik daripada luar kotak penalti pada minit ke-63.

Felda United FC pula meleburkan rekod tanpa kalah Melaka selepas tiga perlawanan apabila menang tipis 3-2 pada aksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Skuad ‘The Fighters’ selesa mendahului 3-0 hasil dua jaringan pemain import dari Argentina, Nicolas Leandro Velez pada minit ketujuh dan ke-63 serta gol bekas penyerang antarabangsa Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal pada minit ke-15.

Melaka, bagaimanapun, berjaya merapatkan defisit jaringan pada penghujung perlawanan menerusi Romel Morales pada minit 81 dan Uche Agba pada minit ke-88, namun ia sudah terlambat untuk menghalang pasukan tuan rumah meraih tiga mata berharga.

Dalam pada itu, Terengganu FC bangkit sebanyak tiga kali untuk mengikat Selangor dengan keputusan seri 3-3 pada aksi penuh dramatik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus.

Penyerang berbisa Selangor,  Ifedayo Olusegun membuka tirai jaringan untuk skuad Gergasi Merah pada minit ke-38, sebelum pemain gantian, Mohammad Rahmad Makasuf menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah, selang empat minit kemudian.

Selangor kembali berada di hadapan menerusi Khyril Muhymeen Zambri yang menolak masuk mudah bola berpunca daripada sepakan penjuru oleh Sandro Mendonca pada minit ke-51, sebelum Terengganu FC kembali menyamakankedudukan, selang dua minit kemudian menerusi Sanjar Shaakhmedov.

Pemain kelahiran Australia-Malaysia, Brendan Gan meledak gol ketiga untuk Selangor pada minit ke-69, namun kapten pasukan tuan rumah, Andrew Lee Tuck memastikan satu mata berharga untuk TFC selepas menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung babak perlawanan.

Terdahulu, TFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain tengah, Muhammad Azalinullah Mohamed Alias dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaakob pada minit ke-79 selepas mengutip kad kuning kedua.

Satu lagi aksi Liga Super menyaksikan juara Piala FA 2019, Kedah seri 1-1 dengan UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.

Skuad Lang Merah terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi percubaan dari luar kotak penalti Kpah Sean Sherman pada minit ke-30, sebelum UiTM FC berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-81 selepas Gustavo Almeida memanfaatkan hantaran daripada Mohamad Shafiq Al-Hafiz Dawawi.

Dalam saingan Liga Premier, pasukan Selangor II meraih kemenangan sulung selepas tiga perlawanan apabila mengatasi Sarawak United 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-81.

Johor Darul Ta’zim II pula sekadar berkongsi satu mata selepas seri 1-1 menentang Kuala Lumpur di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply