Semangat Tok Gajah Meningkat Setelah Sulung Meraih Menang | Malaysia News

Semangat Tok Gajah Meningkat Setelah Sulung Meraih Menang

Kuantan, MTN – Kemenangan sulung skuad bola sepak Pahang semasa menentang Sabah semalam, menyuntik semangat Tok Gajah untuk kembali bangkit selepas dua kekalahan berturut-turut pada saingan Liga Super musim ini.

Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, kemenangan 2-0 di laman sendiri yang membolehkan mereka mengutip tiga mata itu sememangnya amat diperlukan selepas tewas kepada Selangor dan PJ City pada perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, Dollah mengakui tidak boleh berpuas hati kerana rentak permainan pasukannya masih tidak konsisten apabila permulaan yang amat baik berubah menjadi agak goyah pada babak akhir perlawanan.

“Perkara ini berlaku kerana mereka terlalu berwaspada dengan gerakan lawan. Disebabkan terlalu mahukan kemenangan, Pahang bermain dengan berhati-hati selepas memperoleh gol kedua.

“Tindakan itu menyebabkan pertahanan kita kelihatan goyah selain gagal menambah gol walaupun telah berjaya mencipta ruang,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Pada perlawanan itu, Tok Gajah membuka jaringan pada minit ke-21 menerusi penyerang import dari Brazil, Ivan Carlos sebelum pemain pertahanan Herold Mark Goulon melengkapkan kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-50.

Dollah berkata prestasi Carlos masih berada di tahap ‘turun-naik’ dan keputusan tidak menurunkan ‘Orang Besi’ Dickson Nwakaeme pada perlawanan semalam dibuat kerana enggan mengambil risiko ekoran kecederaan dialaminya.

Sementara itu, pengendali Sabah Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan pasukan lawan beraksi lebih baik selain turut memiliki kelebihan fizikal pemain yang tinggi.

“Pahang bermain secara agresif sehingga memaksa kami yang biasa bermain hantaran pendek dalam mengatur serangan terpaksa bertukar kepada hantaran jauh.

“Apabila melakukan hantaran jauh, pemain pertahanan mereka yang memiliki ketinggian pula berjaya mematahkan serangan kami,” katanya.[bernama]

Facebook Comments