NGO Siap Bantu Rakyat Malaysia Yang Terkandas Di Singapura | Malaysia News

NGO Siap Bantu Rakyat Malaysia yang Terkandas di Singapura

NGO Siap Bantu Rakyat Malaysia yang Terkandas di Singapura

Kuala Lumpur, MTN – Rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura kerana perintah kawalan pergerakan boleh menghubungi Persatuan Malaysia di Singapura (Masis) untuk mendapatkan bantuan penginapan, pengangkutan dan lain-lain keperluan.

Ini terutamanya bagi rakyat yang tinggal di Malaysia tetapi biasanya berulang-alik ke Singapura untuk bekerja setiap hari.

Mereka yang terlibat boleh menyenaraikan keperluan mereka di dalam borang yang disediakan dan Masis akan cuba menyelaraskan bantuan tanpa mengenakan bayaran.

Tempoh perkhidmatan ini adalah sehingga perintah itu berakhir pada 31 Mac.

Rakyat Malaysia dilarang daripada meninggalkan negara ini di bawah perintah kawalan pergerakan tetapi segelintir pekerja Malaysia memilih untuk kekal di Singapura kerana mahu terus bekerja bagi mendapatkan pendapatan.

Dilaporkan hari ini beberapa rakyat Malaysia yang tidak memiliki penginapan sementara tidur di atas lantai di stesen-stesen MRT di bandar raya itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Presiden Masis Aarathi Arumugam berkata mereka bekerjasama dengan hotel, asrama dan kemudahan penginapan lain untuk mendapatkan kadar bilik istimewa bagi mereka yang memerlukan.

“Jika mereka perlu kembali segera ke Malaysia kita akan cuba selaraskan dan bantu.

“Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan dengan bantuan Suruhanjaya Tinggi Malaysia,” katanya.

Masis juga menawarkan bantuan perubatan dan apa sahaja keperluan rakyat Malaysia berdasarkan kes demi kes.

Masis ialah NGO sukarelawan yang dikendalikan untuk rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Singapura.

“Saya fikir kami dalam kedudukan yang baik dengan rangkaian kami yang luas untuk membantu warga Malaysia supaya mereka selamat dan terus melangkah dengan tenang pada masa ini,” kata Aarathi.

Selepas perintah kawalan pergerakan diumumkan, kerajaan Singapura memutuskan untuk membantu pekerja Malaysia dalam menguruskan pemginapan jangka pendek supaya mereka boleh terus bekerja di bandar raya itu.

Menurut laman web berita Singapura Today Online, majikan Singapura memberikan pampasan SGD50 kepada setiap pekerja setiap hari bagi menyediakan tempat tinggal sementara.[mk]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply