Pentas Global Jadi Sasaran Md Nasir untuk Karya Lokal
Pentas Global Jadi Sasaran Md Nasir untuk Karya Lokal
Kuala Lumpur, MTN – Selepas seminggu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim memerlukan sedikit masa untuk membuat penambahbaikan.
Md Nasir, 62, yang juga bekas Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah dan Penyelidikan), Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, dia membuat penyelidikan dalam pelbagai aspek sebelum memegang ‘kerusi panas’ itu.
“Sepanjang minggu pertama, saya menghadiri banyak mesyuarat dan melakukan analisis SWOT iaitu teknik perencanaan strategi yang bermanfaat.
“Daripada situ, saya boleh mengenal pasti kelemahan, kekuatan, cabaran dan peluang oleh FINAS.
“Saya perlu menilai hampir semua bahagian di FINAS dan akan menggunakan pengalaman serta ilmu yang ada untuk membuat penambahbaikan.
“Saya cuma minta penggiat seni memberikan sedikit masa, tetapi tidaklah terlalu lama,” katanya.
Md Nasir berkata, dia tidak sabar mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan yang bernaung di bawah FINAS.
Katanya, dia akan berusaha mengatur perjumpaan dengan seberapa banyak wakil persatuan dalam tempoh sebulan ini.
“Ramai penggiat seni menghubungi saya untuk berjumpa dan berbincang. Insya-Allah, saya akan melakukan perjumpaan apabila ada masa terluang.
“Saya sudah turun padang bertemu beberapa penerbit yang sedang menjayakan program menggunakan Dana Kandungan Digital (DKD). Selain memberi sokongan, saya mahu melihat perkembangan mereka,” katanya.
Tambahnya, dia terbuka mendengar cadangan daripada wakil persatuan dalam usaha menambah baik industri perfileman.
“Daripada cadangan mereka, kami akan mengambil tindakan sesuai ikut bidang kuasa FINAS.
“Kami mahu penggiat seni tahu FINAS sentiasa prihatin dengan situasi mereka. Misalnya, saya mahu segerakan bantuan kepada penggiat seni yang terjejas akibat COVID-19.
“Antara lain, menyegerakan bayaran dan menyelaraskan bantuan. Saya sudah banyak membaca laporan, ramai mengeluh mengenai kontrak, bayaran tidak setimpal, tawaran mengikut jumlah pengikut laman sosial dan sebagainya.
“Perkara ini saya perlu dengar daripada semua pihak termasuk penerbit, pelakon dan stesen televisyen untuk sama-sama menanganinya.
“Saya mahu membuat penambahbaikan menerusi pemberian DKD agar dana dapat diberikan kepada lebih ramai penggiat seni yang memerlukan,” katanya.
Md Nasir berharap insentif dan dana diluaskan agar lebih ramai penerima dapat menerima manfaat. Secara tidak langsung mendorong penggiat seni menghasilkan karya lebih bermutu tinggi.
“Jika boleh saya berhasrat memberi lebih peluang kepada pembikin filem yang mahukan dana. Disebabkan itu, saya akan membuat pemantauan untuk memastikan dana diberi digunakan sebaiknya.
“Apa sahaja projek yang menggunakan dana dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
“Saya percaya apabila ada proses berkualiti, hasilnya juga berkualiti,” katanya.
Beliau berkata, usahanya itu dipercayai dapat mendorong filem dihasilkan pengkarya tempatan berupaya mewakili negara ke festival peringkat antarabangsa.
“Dengan dana diberikan, FINAS mahu menonjolkan karya lebih baik supaya akhirnya dapat mewakili negara pada festival antarabangsa.
“Bukan itu sahaja, saya yakin apabila menggerakkan dana secara optimum, banyak manfaat diperoleh. Kita boleh menyediakan peluang pekerjaan pada pelakon, kru, pengarah dan memberi sumber pendapatan pada penerbit.
“FINAS juga boleh menghasilkan ekosistem yang baik. Sebagai contoh, memberi pendapatan kepada perkhidmatan katering, sewa peralatan, studio rakaman dan sebagainya.
“Hanya satu dana, ia dapat memberi peluang pekerjaan banyak kepada pelbagai pihak. Jadi, saya perlu membuat pemantauan rapi agar dana ini digunakan sebaik-baiknya,” katanya.
Selain itu, Md Nasir berhasrat memperkukuhkan ilmu dan kemahiran penggiat seni menerusi pemberian latihan dari masa ke masa.
“Latihan ini agar penggiat seni berpeluang melakukan apa sahaja cabang dalam bidang seni. Misalnya, latihan mengenai pencahayaan untuk kru di balik tabir.
“Antara lain, latihan berkaitan pengarahan, penulisan skrip dan sebagainya.
“Namun, bukan sekadar latihan kerana FINAS akan memberikan insentif dan imbuhan sebagai motivasi. Seperti dalam latihan, kami akan memberikan pulangan kepada pelajar cemerlang untuk dalam produksi.
“Selalunya sebaik menghadiri latihan kita tidak tahu apa nasib dan ke mana mereka pergi, jadi ini sebagai langkah memastikan mereka yang terbabit dengan latihan akan menyertai industri kreatif,” katanya.
Secara ringkasnya, Md Nasir mahu semua penggiat seni, tidak kira artis dan kru balik tabir mendapat manfaat daripada industri perfileman.
“Pada peringkat awal, saya mahu melihat semula aspek yang terjejas. Peringkat kedua, saya mahu memperkasakan tadbir urus FINAS dari pelbagai aspek.
“Ketiga, saya mahu memperkasakan industri perfileman melalui dana dan insentif diberi bagi memastikan filem diterima ramai dan berjaya diangkat ke peringkat lebih tinggi kerana inilah wawasan untuk memartabatkan karya tempatan,” katanya.
Terdahulu, pelantikan Md Nasir sebagai CEO FINAS bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 November lalu sehingga 30 Oktober 2023.
Selain berpengalaman luas, Dr Md Nasir mempunyai ketokohan dalam bidang pengurusan industri kreatif serta pembangunan polisi, tadbir urus dan pendidikan dalam seni budaya di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Md Nasir, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada 2008 dan Pasca Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014.
[BH]
Author Profile
Latest entries
- Kabar LainDecember 22, 2021Peningkatan Paras Air di Sebahagian Shah Alam
- Seni & HiburanDecember 22, 2021Uyaina Teruskan Majlis Nikah Walaupun Pelamin Tenggelam
- EkonomiDecember 21, 2021Swift Haulage Berhasil Disenaraikan di Pasaran Utama
- Top NewsDecember 21, 202117 Disahkan Terkorban Akibat Banjir di Selangor