Perak Optimis Melakar Kemenangan Menentang Kelantan United | Malaysia News
December 14, 2024

Perak Optimis Melakar Kemenangan Menentang Kelantan United

Perak Optimis Melakar Kemenangan Menentang Kelantan United

Perak Optimis Melakar Kemenangan Menentang Kelantan United

IPOH, MTN- Perak optimis melakar kemenangan ketika berdepan Kelantan United pada aksi pusingan pertama Piala Malaysia 2020, yang dijadual Sabtu ini di Stadium Perak.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, keyakinan itu berdasarkan komitmen serta kesungguhan yang ditonjolkan pemain, terutama dalam sesi latihan yang dijalankan barisan kejurulatihan sejak saingan Liga Super berakhir.

“Pengalaman yang ada pada pemain juga adalah kelebihan buat kita dan saya harap pemain akan berjuang habis-habisan untuk layak ke peringkat suku akhir.

“Bagaimanapun, saya telah mengingatkan kepada pemain supaya jangan ambil mudah pasukan lawan, kerana elemen kejutan boleh berlaku lebih-lebih lagi dalam format perlawanan secara kalah mati itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Berdasarkan undian, skuad The Bos Gaurus, yang juga juara Piala Malaysia 2018, bakal berdepan sama ada Terengganu FC atau PJ City FC diperingkat suku akhir, sekiranya berjaya mengalahkan Kelantan United.

Adly Shah, yang juga pengurus pasukan Perak, turut menarik nafas lega apabila semua pemain utama skuad itu bebas daripada sebarang kecederaan dan boleh diturunkan pada perlawanan tersebut.

Selain itu, katanya beliau percaya peluang untuk Perak menjulang Piala Malaysia pada tahun ini tetap ada, walaupun mengakui laluan yang akan ditempuhi para pemain sedikit berliku.

“Dua tahun lepas kita sudah buktikan bahawa kita mampu (juara) dan saya fikir kalau setiap pemain fokus dan bermotivasi tinggi, sasaran untuk menjulang Piala Malaysia pada tahun ini akan tercapai,” katanya.

Mengulas mengenai penamatan kontrak tonggak import dari Australia Antony Golec dua minggu lepas, Adly Shah berkata penamatan kontrak itu dibuat atas faktor peribadi selain tidak membabitkan sebarang masalah antara pemain pertahanan itu dengan pihak pengurusan.

“Kita juga tak rasa ia akan merencatkan fokus kita dalam mengharungi kempen Piala Malaysia kali ini, kerana beberapa pemain tempatan yang bermain di posisi sama, mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Golec,” katanya.

 

[bernama]

Facebook Comments

Author Profile

Maulia

About The Author

Leave a Reply