UTeM Menang Kejohanan Sukan Elektronik Liga Universiti 2020 | Malaysia News

UTeM Menang Kejohanan Sukan Elektronik Liga Universiti 2020

UTeM Menang Kejohanan Sukan Elektronik Liga Universiti 2020

Melaka, MTN – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Sukan Elektronik (e-sukan) Liga Universiti 2020 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Raha Abdul Rahim berkata pada kejohanan sulung yang diadakan secara dalam talian itu, UTeM yang diwakili 16 pelajarnya mencatat kejayaan cemerlang dan seterusnya membawa pulang piala pusingan kejohanan.

“Kejayaan ini menyerlahkan kecemerlangan mahasiswa universiti ini yang dikenali sebagai ‘Tuah UTeM’ dalam arena sukan era masa kini yang telah mula mendapat perhatian ramai di dalam dan luar negara.

“Kejohanan ini juga turut menjadi medan terbaik bagi mahasiswa memulakan langkah pertama ke dunia e-sukan pada tahap yang lebih tinggi atau profesional,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Prof Madya Dr Nurulfajar Abd Manap, dalam kenyataan sama, berkata kejohanan itu mampu membentuk pelapis pemain e-sukan di peringkat universiti bagi mewakili negara di Kejohanan Sukan Universiti ASEAN nanti.

Pada pertandingan yang disertai 67 institusi pengajian tinggi seluruh negara itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) muncul naib juara, manakala Universiti Tunku Abdul Rahman (UNITAR) merangkul tempat ketiga.

[bernama]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply