Wanita PKR Kecam Kenyataan Rasis Dan Seksis MP Baling | Malaysia Top News
December 1, 2020

Wanita PKR Kecam Kenyataan Rasis dan Seksis MP Baling

Wanita PKR mengecam sekeras-kerasnya tindakan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur rasis dan seksis pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Naib Ketua Wanita PKR Sengetha Jayakumar berkata, kenyataan tersebut jelas menunjukkan sikap dan jati diri yang rendah dan tidak menghormati kemuliaan Dewan Rakyat.

Tambahnya, perkara itu secara tidak langsung memperlihatkan tradisi kebiasaan pemerintahan lama yang gemar bersikap rasis dan seksis.

“Wanita PKR  yang mengikuti pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Ke-3 Parlimen Ke-14 semalam turut melahirkan rasa kesal kerana tindakan ini tidak ditegur Ahli Parlimen wanita dari Perikatan Nasional (PN).

“Apatah lagi ia melibatkan kenyataan berbaur perkauman dan merendah-rendahkan martabat wanita yang selama ini diangkat tinggi oleh pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Perkara sedemikian turut mencerminkan betapa peranan wanita tidak pernah menjadi agenda penting PN dan mereka hanya berminat dengan perebutan kuasa serta memegang peranan penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin, Abdul Azeez (BN-Baling) dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur rasis dan seksis terhadap Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) semasa Datuk Azhar Azizan Harun memberi ucapan usul pelantikan Jawatankuasa Pemilih.

Abdul Azeez mengungkapkan ayat “gelap, tak nampak” ketika Kasthuriraani bangun mencelah mempersoalkan mengenai ketiadaan wanita dalam jawatankuasa itu.

Keadaan itu menyebabkan Kasthuriraani dan R.S.N Rayer (PH-Jelutong) bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat serta meminta Azhar mengarahkan Abdul Azeez menarik balik perkataan ‘gelap tak nampak’ kerana disifatkan berbaur perkauman.

Azhar berkata perkara yang dibangkitkan Kasthuriraani boleh dibawa semasa perbahasan usul itu dan meminta meneruskan perbahasan tanpa membuat keputusan mengenai perkataan yang diungkapkan Abdul Azeez.

Beberapa ahli blok pembangkang, antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa); Chang Lih Kang (PH-Tanjong Malim) dan P. Prabakaran (PH-Batu) mendesak Azhar menetapkan peraturan atas perkataan diungkapkan Abdul Azeez.

Namun, Abdul Azeez mempertahankan perkataan yang digunakan atas alasan beliau juga berkulit gelap dan berkata: “pakailah bedak selesai masalah”.

Perkara itu ibarat mencurah minyak ke dalam api apabila Kasthuriraani mendakwa dirinya dianiayai berikutan kenyataan Abdul Azeez dianggap seksis.

Abdul Azeez bagaimanapun menarik balik perkataan itu setelah lebih 10 minit kekecohan dan desakan bertalu-talu blok pembangkang.

Facebook Comments
Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •