Menjelang Kongres, Hubungan Dua Pucuk Pimpinan Parti PKR Masih Tegang
Menjelang Kongres, Hubungan Dua Pucuk Pimpinan Parti PKR Masih Tegang
Kuala Lumpur – Perbalahan panjang antara dua pemimpin tertinggi PKR nampaknya akan meletus apabila khabar angin mengatakan sebuah lagi kongres berasingan akan dibuka oleh Datuk Seri Azmin Ali serentak dengan kongres rasmi parti yang akan berlangsung di Melaka pada minggu hadapan.
Sebahagian besar ahli-ahli pimpinan PKR pusat, termasuklah Fuziah Salleh, mengatakan bahawa mereka tidak ada maklumat tentang kongres serentak tersebut ketika dihubungi, namun ada yang mengakui bahawa ‘cakap-cakap’ seperti itu sedang berlegaran.
“Cakap-cakap ada, tetapi tidak ada pengumuman rasmi,” Datuk Mohd Rashid Hasnon, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR atau MPP, lapor Malay Mail, Isnin (2/12).
Rashid dilihat sebagai salah seorang daripada beberapa orang pemimpin PKR yang selaras dengan Azmin dan telah bergabung dengannya dalam menandatangani memorandum 29 November untuk membantah pemecatan pemimpin bahagian PKR baru-baru ini, iaitu Zakaria Abdul Hamid atas tuduhan rasuah.
Memorandum tersebut ditandatangani oleh 20 orang pemimpin yang dilihat bertentangan dengan kepemimpinan presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuklah Azmin dan Zakaria sendiri.
Ahli MPP PKR pro-Azmin yang lain, Hee Loy Sian, juga mendakwa tidak tahu menahu tentang kongres serentak, yang dikhabarkan akan berlangsung di Kuala Lumpur bersamaan dengan kongres rasmi di Melaka mulai 5 hingga 8 Desember.
“Saya tidak tahu menahu. Kita cuma buat satu di Melaka,” kata Hee ketika dihubungi.
Ketika dihubungi, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengatakan “tidak dalam pengetahuan saya” sementara Fuziah mengatakan bahawa beliau “tidak ada maklumat” tentang kongres serentak sebagaimana yang diwar-warkan.
Para pemimpin PKR yang lain mengkritik cubaan untuk mengadakan konvensyen parti secara serentak.
Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung mendakwa tidak pernah mendengar tentang kongres serentak tersebut, dan mengatakan bahawa hal sedemikian bukan sahaja salah dari segi moral malah ianya juga akan membuka ruang kepada parti pemerintah menjalankan siasatan menerusi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Kongres parti adalah platform tertinggi dalam pembuatan keputusan bagi sesebuah parti. Sebarang cubaan untuk menjejaskannya adalah kesalahan yang serius, dan lebih buruk lagi, ianya adalah sebuah pengkhianatan terhadap perjuangan parti dan juga kepada 900,000 ahli-ahlinya.
“Tidak ada organisasi yang akan bertoleransi dengan kongres serentak. Tidak ada ahli yang waras yang akan bersetuju dengan mesyuarat serentak,” tambahnya lagi.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak berselindung ketika ditanyakan tentang dakwaan akan berlangsungnya kongres kedua, beliau menyarankan agar Azmin membentuk partinya sendiri jika dia merancang untuk mengadakan perhimpunannya sendiri.
“Kongres apa, kongres haram? Buat, minta dia bentuk parti baru. Tak dengar khabar angin, minta dia bentuk partinya sendiri. Jika dia tidak dapat ikut satu parti, minta dia bentuk parti baru, minta kawan-kawan baru untuk masuk ke partinya.
“Itu lebih baik kalau dia buat parti sendiri, jangan keras kepala. Anda tidak menghormati parti, tidak datang ke mesyuarat, menentang perlembagaan, saya sarankan agar dia bentuk partinya sendiri. Kenapa dia masih duduk dalam parti ini? Jika anda tidak percaya, lebih baik anda keluar,” katanya ketika dihubungi.
Setiausaha Politik Anwar Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata kepada Malay Mail: “Hanya ada satu kongres. Apa saja kongres selainnya hanyalah persidangan puak penentang.”
Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan awal hari ini sebagai menegaskan bahawa hanya terdapat satu kongres kebangsaan “rasmi” untuk partinya, yang akan berlangsung di Melaka dari 5 sehingga 8 Disember nanti.
PKR dilihat berada di tengah-tengah perebutan kuasa yang berlarutan yang telah berlangsung semenjak pemilihan tahun lalu.
Ahli-ahli parti dikatakan terpecah kepada dua kubu: iaitu di pihak Anwar yang pada saat ini tidak memegang sebarang jawatan Kabinet, tetapi dinamakan sebagai perdana menteri Pakatan Harapan yang berikutnya selepas Tun Mahathir Mohamad, dan timbalannya, iaitu Azmin, yang saat ini merupakan menteri hal ehwal ekonomi dan dilihat mempunyai hubungan erat dengan pengerusi pakatan.
Author Profile
Latest entries
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Kerajaan Stabil Perlu Ditubuhkan Tangani Masalah Ekonomi Akibat Covid-19
- CoronaVirus_Covid-19August 13, 2021Malaysia Parah, DSAI: Mana Jaminan Kerajaan Bahawa Keadaan Bertambah Baik
- NationalAugust 5, 2021Mahiaddin Kelirukan Agong, Penderhakaan Tertinggi yang Tidak Patut Dimaafkan
- NationalJuly 26, 2021Kadir Jasin: Mahiaddin Sepatutnya Meletak Jawatan