Ini Kata Zakaria Abdul Hamid Soal Pemecatan dari Parti PKR

Kuala Lumpur – Ahli PKR yang baru dipecat Zakaria Abdul Hamid meminta pimpinan tertinggi parti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk membetulkan semula tuduhan ke atas beliau yang dipecat kerana disyaki menerima rasuah, dengan mendakwa bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan beliau tidak bersalah.

Zakaria berkata bahawa adalah tidak betul bagi Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Presiden PKR Anwar untuk mengatakan yang pemecatan itu dilakukan atas saranan SPRM, dengan mengatakan bahawa ini adalah “palsu, dan dikira untuk mengelirukan anggota parti dan orang ramai”.

Zakaria mendakwa perenggan keempat dari surat SPRM kepada PKR itu dengan jelas menyebut bahawa perbicaraan perlu dilakukan ke atas saya oleh Lembaga Disiplin (LD) parti, dan ini tidak diendahkan.

“Dalam pelanggaran ini jelas, saya dipecat tanpa siasatan. Ini merupakan pelanggaran terhadap setiap prinsip kesopanan dan keadilan,” kata bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam sebuah kenyataan kelmarin, beliau menambah bahawa beliau telah dinafikan hak untuk dibicarakan sebaliknya dibuli oleh pimpinan parti.

Ditanyakan adakah politik berpuak dalam PKR telah mencapai tahap ekstrem sehingga pimpinan parti sudah tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah, Zakaria menzahirkan rasa terkejut apabila fakta-fakta dalam kesnya telah “diputar”.

Zakaria berkata beliau memberitahu ahli-ahli parti bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ada projek kecil yang mereka boleh pohon dari majlis daerah berkenaan, dan menyatakan bahawa terserah kepada pihak berkuasa untuk memutuskan sama ada untuk memberikan projek tersebut.

“Biar saya tekankan bahawa mereka hanya diminta untuk memohon. Apa yang salah dengannya? Di mana kesalahan itu? Keputusan muktamad sama ada untuk memberi sebarang projek kecil bergantung kepada pihak berkuasa berkenaan. Dan hakikatnya, akhirnya, tidak seorang pun daripada mereka dianugerahkan sebarang projek.

“Ketiga, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa DPP telah memutuskan bahawa tidak akan ada pendakwaan terhadap saya,” katanya, dengan alasan bahawa idea bahawa beliau telah melakukan rasuah adalah “persepsi palsu”.

Zakaria juga menegaskan bahawa SPRM sebelum ini menyatakan bahawa suratnya kepada PKR mengenai kes beliau adalah kekhilafan.

“Saya ulang bahawa pemecatan saya adalah menyalahi undang-undang dan tidak adil, dan saya menyeru kepada Anwar, Saifudin dan para kepimpinan parti untuk membetulkan semula keadaan. Saya seru agar mereka berhenti bersembunyi di belakang SPRM dan menjaja namanya untuk menyembunyikan kesalahan mereka sendiri. Mereka mestilah bertindak dengan adil mengikut prinsip reformasi,” katanya.

Spread the love
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •   
  •  
  •  

Post Author: Chen Fang Guang

Leave a Reply