Jika Ada Kongres Pintu Belakang, PKR Akan Mengambil Tindakan Disiplin | Malaysia News

Jika Ada Kongres Pintu Belakang, PKR Akan Mengambil Tindakan Disiplin

Jika Ada Kongres Pintu Belakang, PKR Akan Mengambil Tindakan Disiplin

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan akan mengadakan “kongres pintu belakang” bersama dengan kumpulannya di hotel mewah semasa forum rasmi Kongres Nasional PKR hujung minggu ini di Melaka. Rancangan itu telah pun tersebar di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Dalam maklum balas tentang hal tersebut, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa parti akan mengambil tindakan disiplin jika masih ada pihak atau ahlinya yang ingin mengadakan ‘kongres pintu belakang’.

“Kita hanya ada satu Kongres Nasional PKR iaitu mengikut perlembagaan parti dan tidak ada selain itu. Kita perlu berwaspada dan jangan sampai etika dan disiplin parti dilanggar.

“Banyak langkah boleh diambil termasuklah tindakan disiplin (jika kongres pintu belakang diteruskan) dan peringatan terakhir saya adalah diharapkan agar semua ahli sedar tentang aspek etika dan perlulah menunjukkan disiplin mantap seperti yang diharapkan rakyat sebagai parti terbesar di dalam blok kerajaan,” katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Pantai Dalam, Selasa (3/12/2019).

Seperti yang dijadualkan, Kongres Wanita akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin pada jam 9 malam Khamis ini manakala Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan merasmikan Kongres Angkatan Muda pada Jumaat ini.

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply