KKM: 73 Anggota Kesihatan Positif Virus Covid-19 | Malaysia News
April 8, 2020

KKM: 73 Anggota Kesihatan Positif Virus Covid-19

Putrajaya, MTN – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 73 anggotanya dikesan positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes atau 64.4 peratus adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang juga dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh.

“Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan dari kontak keluarga yang positif Covid-19,” katanya dalam sidang media di pejabat KKM hari ini.

Noor Hisham berkata seramai 1,895 anggota kesihatan yang menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, di mana 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

Dalam pada itu, kesemua petugas barisan hadapan memaklumkan ketua jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta di beberapa majlis di Putrajaya dan Bangi.

Majlis berkenaan adalah program Ijtimak di Seri Petaling, satu majlis perkahwinan pada 6 Mac di Bangi dan majlis resepsi perkahwinan pada 7 Mac di Putrajaya.

Kesemua majlis ini dihadiri oleh anggota kesihatan KKM. [mg]

Share on:
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •