Lee Boon: Minum Air Suam Bukan Cara Yang Berkesan Cegah Covid-19 | Malaysia News

Lee Boon: Minum Air Suam Bukan Cara yang Berkesan Cegah Covid-19

Lee Boon: Minum Air Suam Bukan Cara yang Berkesan Cegah Covid-19

Kuala Lumpur, MTN – Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan berkata bahawa meminum air suam bukan cara yang berkesan untuk merawat atau mencegah virus Covid-19.

“Sama seperti minum alkohol seperti yang dilaporkan di Iran juga tidak membunuh virus,” katanya.

Menurut bekas pakar jantung itu, basuh tangan, elakkan daripada menyentuh muka, duduk di rumah dan guna topeng muka jika anda di tempat awam akan mengawal atau mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Saluran pernafasan dan sistem gastrointestinal mempunyai laluan yang berbeza walaupun berkongsi kawasan umum di dalam kerongkong.

“Semasa kita makan atau minum ada mekanisme untuk mencegah makanan atau minuman masuk ke dalam paru-paru (aspirasi).

“Apabila makanan atau minuman secara tidak sengaja memasuki paru-paru, ia menyebabkan pneumonia aspirasi dan akibatnya serius,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia merujuk kenyataan Menteri Kesihatan, Dr. Adham Baba yang menyatakan amalan meminum air panas boleh mematikan virus Covid-19 baru-baru ini.

Menurut Boon Chye lagi, Covid-19 adalah jangkitan saluran pernafasan khusus saluran pernafasan yang lebih mendalam.

“Bagi pesakit yang dijangkiti, virus ini berada terutamanya di saluran pernafasan dalam dan bukan hanya di tekak.

“Walaupun suhu panas dan air panas boleh membunuh virus, anda sebenarnya perlu menyiram air panas ke dalam paru-paru dan ini akan membanjiri paru-paru dan membunuh pesakit sebelum virus itu mati,” kata pemimpin PKR itu lagi.

Yang penting, katanya, duduk di rumah dan patuhi Perintah Kawalan Pergerakan.[mg]

Facebook Comments

About The Author

Leave a Reply